Boleh bertemu, keputusan tidak sambung lesen premis judi tetap muktamad - Utusan Malaysia

Boleh bertemu, keputusan tidak sambung lesen premis judi tetap muktamad

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri tidak ada masalah bertemu mana-mana pengusaha premis judi di Perlis bagi mendapat penjelasan lebih lanjut namun keputusan untuk tidak menyambung lesen operasi premis judi tetap muktamad.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, pihaknya tiada masalah bertemu mana-mana pengusaha premis terlibat dan pertemuan boleh diatur bagi membincangkan tentang perkara itu.

Mohd. Shukri berkata, pihaknya amat yakin rakyat negeri ini akan bersama-sama beliau dalam usaha bagi menghentikan operasi premis-premis judi di sekitar Perlis.

“Selepas pelaksanaan ini, kita juga akan mengesan aktiviti-aktiviti judi haram yang beroperasi dalam usaha bagi menghapuskan kegiatan berkenaan di Perlis.

“Tak susah pun untuk kesan mereka (yang jalankan operasi judi haram) ini kerana Perlis adalah negeri yang kecil sahaja,” katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita berkaitan syarikat judi Da Ma Cai memberi amaran risiko ketagihan judi akan semakin makin parah selain pertambahan lebih banyak isu sosial jika kedai mereka ditutup.

Sports Toto dan Da Ma Cai juga memohon untuk bertemu dengan pihak Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi membincangkan isu berkenaan.

Da Ma Cai mempunyai satu kedai nombor ekor di Perlis di samping syarikat judi Sports Toto dan Magnum. 

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri kekal dengan pendirian untuk tidak menyambung atau memperbaharui lesen mana-mana pengusaha premis judi di negeri ini.

Buat masa ini, terdapat enam premis perjudian di negeri ini dan lesen bagi pengusaha terakhir yang menjalankan operasi berkenaan dijadual tamat tempoh pada Mac 2024.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri tidak terlalu agresif dalam mengambil tindakan berkenaan dan memberi tempoh masa mencukupi kepada pengusaha terlibat untuk membuat persediaan.

“Ruang masa yang diberikan bagi pelaksanaan ini adalah mencukupi iaitu bermula April lalu dan kita tidak akan memberi lanjutan tempoh lagi,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya