MELAKA: Seorang pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 mengamalkan mengulang kaji pelajaran pada awal pagi sebagai rutin hariannya.
Insyirah Noor Ain, 18, berkata, awal pagi selepas waktu Subuh merupakan masa terbaik untuk membaca buku dan menghafal terutama membabitkan subjek yang mempunyai banyak fakta.
Kata anak sulung daripada dua beradik itu, faktor utama kejayaannya adalah kerap membuat latihan yang diberikan guru.
“Saya sendiri tidak menyangka akan mendapat 11A kerana ada dua subjek yang saya tidak begitu yakin iaitu matematik tambahan dan biologi. Saya tak pernah dapat A untuk dua subjek ini sepanjang di tingkatan lima.
“Justeru, ada satu perasaan takut dalam diri ini, saya tidak akan berjaya capai apa yang saya mahukan. Jadi saya kena tingkatkan latihan sama ada dengan inisiatif sendiri atau yang diberikan guru.
“Selain itu, awal pagi selepas Subuh adalah waktu terbaik untuk saya menghafal fakta atau formula yang berkaitan. Paling penting kita kena jaga hubungan dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan kerana hati akan lebih tenang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Pengumuman Keputusan SPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah di sini.
Tambah Insyirah, dia mendedikasikan kejayaannya kepada ibu, Haslizah Hassan, 53, dan bapa, Noor Ain Sulaiman, 51.
Dia yang bercita-cita menjadi doktor berkata, kesusahan yang dihadapi ibu bapanya dijadikan motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh demi mengubah nasib keluarga.
“Ibu bekerja sebagai kerani di sebuah kilang manakala ayah seorang pekebun. Kejayaan ini adalah hadiah untuk mereka dan saya berjaya mengharumkan nama kedua ibu bapa. Saya kini menunggu tawaran ke universiti bagi program asasi demi mengejar cita-cita dalam bidang perubatan,” ujarnya. – UTUSAN