AMK gesa nilai semula permohonan Muda sertai Pakatan Harapan - Utusan Malaysia

AMK gesa nilai semula permohonan Muda sertai Pakatan Harapan

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa supaya Pakatan Harapan (PH) menilai semula permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang menuntut supaya menjadi parti komponen gabungan itu sebelum ini.

Dalam kenyataan hari ini, sayap pemuda PKR itu berkata, ia susulan tindakan Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Dewan Rakyat minggu lalu bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar berkenaan projek kapal tempur pesisir pantai (LCS).

AMK berkata, Syed Saddiq cuba mengalih perhatian isu sebenar dengan menggambarkan Dewan Rakyat dan kerajaan mengelak dan melindungi siasatan LCS sehingga tidak perlu dibahas.

Sedangkan kata AMK, setiap persoalan dibangkitkan Syed Saddiq telah dijelaskan kerajaan khususnya berkaitan kos baharu dan pengurangan unit LCS.

“Tindakan Syed Saddiq secara terus-menerus menyebarkan kenyataan separa benar yang memburukkan kerajaan secara tidak adil harus diteliti.

“Beliau juga harus ditegur oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan selain turut diambil kira dalam penilaian terhadap permohonan Muda untuk menjadi sebahagian daripada PH,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat yang berakhir Khamis lalu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar memberitahu bahawa Johari menolak usul tergemparnya untuk membahas isu ketirisan di dalam projek LCS.

Beliau telah menerima jawapan daripada surat yang diutusnya kepada Johari bahawa isu itu bukan bersifat kepentingan awam, malah tiada keperluan mendesak untuk membahaskannya.

Bagaimanapun Johari meminta Syed Saddiq membetulkan dakwaannya kerana telah bersikap tidak adil terhadapnya.

Jelas Johari, pada perenggan empat suratnya menyatakan usul itu tidak memenuhi peraturan 18(7)(c) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Peraturan itu memperuntukkan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh menolak usul yang dikemukakan kepada jika apa-apa usul melanggar mana-mana syarat dalam peraturan mesyuarat.

Pada Mac lalu, Syed Saddiq menuntut jawapan berhubung status permohonan parti menyertai gabungan PH selepas berbulan-bulan dibiarkan dalam tanda tanya.

Katanya, sudah dua kali partinya tersisih daripada terlibat dalam mesyuarat Kerajaan Perpaduan malah status permohonan menyertai PH masih tergantung selain usaha mengatur pertemuan belum terlaksana.

Semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Mei lalu, yang mana Muda akhirnya terlibat dalam program Kerajaan Persekutuan, katanya, penyertaan Muda dalam konvensyen itu menjadi petanda baik mungkin diterima dalam PH.

Setelah hampir sebulan, masih tiada keputusan atau maklumat lanjut berhubung status permohonannya. Muda menghantar permohonan tersebut pada September tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN