Ambil tindakan kedai rokok, vape jual kepada pelajar

Ambil tindakan kedai rokok, vape jual kepada pelajar

-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedai rokok dan vape perlu dikenakan tindakan tegas jika didapati menjual produk tembakau serta nikotin kepada pelajar berusia 18 tahun ke bawah sebagai langkah membendung isu tersebut terus ‘membarah’ dalam kalangan remaja di negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, gejala merokok dalam kalangan pelajar membuktikan bahawa usaha dilaksanakan sebelum ini tidak berkesan.

Menurutnya, selain golongan terbabit langsung tidak mempedulikan kesihatan dan masa depan mereka, keputusan kerajaan yang bercanggah juga petanda tidak baik dalam isu tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai contoh, kita mahu Malaysia bebas asap rokok namun kerajaan melaksanakan cukai terhadap cecair vape. Langkah itu tidak selari dengan sasaran.

“Selain itu, PIBGN menggesa supaya agensi bertanggungjawab memperkasa dan memperhebatkan lagi penguatkuasaan serta pemantauan di kedai rokok dan vape yang menjual produk tersebut kepada pelajar sekolah.

“Ambil tindakan tegas terhadap mereka agar mendatangkan kegentaran kepada yang lain supaya tidak mengingkari peraturan sedia ada,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia mendedahkan terdapat lebih 43,000 pelajar sekolah dikesan menghisap rokok hasil saringan terhadap 1.3 juta pelajar sekolah menengah tahun lalu.

Jumlah itu turut meliputi 341 murid sekolah rendah dikenal pasti sudah mula menggunakan produk rokok daripada sejumlah dua juta murid menjalani saringan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sekolah-sekolah terpilih seluruh negara.

Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, kerajaan perlu mempertingkatkan langkah pencegahan supaya dapat membendung lebih awal isu ini daripada terus menjadi semakin serius jika tidak ditangani segera.

“Kempen anti rokok yang lama perlu diperbaharui dengan menyelitkan juga kempen anti vaping.

“Pemantuan di pekarangan sekolah dan port lepak pelajar juga perlu dilaksanakan supaya dapat membendung isu ini lebih awal selain memberikan bantuan pemulihan kepada mereka yang sudah terpengaruh,” katanya.

Selain itu, beliau menasihatkan supaya ibu bapa dan guru menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak serta pelajar supaya golongan tersebut tidak terjebak dalam masalah ketagihan merokok.

“Jika ibu bapa atau guru-guru pun merokok ia akan mempengaruhi golongan berkenaan. Kalau nak cegah, buat betul-betul, jangan separuh-separuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini