Buat segelintir penyanyi, amat sukar untuk mengekalkan jenama agar terus diingati dan digilai peminat.
Namun berbeza buat penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa yang sudah berkecimpung selama 25 tahun.
Datanglah wajah baru dalam industri muzik Indonesia sekalipun, namanya masih kukuh dan dianggap sebagai sebuah fenomena dalam dunia seni suara.
Siapa sangka, setelah enam tahun ‘bercuti’ daripada menghasilkan album, percubaan Rossa menjadi apabila album terbaharunya yang bertajuk Another Journey: The Beginning terjual lebih 300,000 unit di Indonesia sejak mula diterbitkan pada 10 Februari.
Mempercayai rekod cemerlang yang diciptanya di Indonesia, Rossa atau nama penuhnya nama sebenar Rosa Roslaina Handiyani membawa momentum itu ke Malaysia dengan sebuah konsert perdananya di Zepp Kuala Lumpur dengan nama yang sama, Another Journey: The Beginning.
Tiket untuk konsert yang sepatutnya berlangsung selama sehari iaitu pada 14 Julai ini habis terjual dalam tempoh 24 jam sahaja. Hasil permintaan orang ramai, penganjur Dream Collaboration akhirnya bersetuju untuk menambah satu lagi hari iaitu 13 Julai.
Lebih menarik, Rossa tidak beraksi di pentas itu sendirian. Terkenal memiliki hubungan baik dengan ramai rakan artis di negara seberang, Rossa turut mengundang Rizky Febian dan Mahalini Raharja untuk berkongsi panggung yang sama.
“Sejujurnya, memang saya sangat menantikan untuk beraksi di Zepp Kuala Lumpur kerana menurut kawan-kawan saya, bernyanyi di sana lebih seronok.
“Konsert saya sebelum ini kita banyak bernyanyi dalam suasana yang formal dan semestinya tiket lebih mahal.
“Kali ini konsert saya di Zepp akan lebih intimate dan bersahaja sahaja. Saya juga akan menyanyikan lagu-lagu daripada album baru saya. Secara keseluruhan saya akan menyanyikan lebih kurang 20 lagu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tidur cara Rossa dapat stamina
Sebulan menjelang konsert di Malaysia, Rossa mengakui jadualnya masih padat apalagi dia selalu diundang menjadi hakim untuk beberapa program nyanyian di Indonesia.
Bercakap tentang persediaan konsert, penerima Anugerah Khas, Anugerah Planet Muzik (APM2018) itu mendedahkan kunci kepada kekuatan stamina untuk beraksi di atas pentas ialah tidur dan melakukan senaman.
“Sejujurnya belum ada banyak persiapan yang perlu dilakukan kerana saya sibuk menghadiri beberapa program nyanyian.
“Insya-Allah menjelang konsert, saya akan mencuri waktu untuk tidur kerana stamina saya banyak berasal daripada tidur dan senaman.
“Memandangkan konsert sudah dilanjutkan selama dua hari, habis sahaja konsert untuk hari pertama saya akan bersendirian di dalam bilik dan mendapatkan rehat yang secukupnya untuk konsert di hari kedua,” katanya lagi.
Alu-alukan bakat baru
Dalam album terbaharunya, Rossa banyak berkolaborasi dengan bakat muda seperti Mahalini untuk lagu Terlalu Berharap dan Barsena Bestandhi untuk lagu Bertengkar Manis.
“Saya senang untuk kolaborasi dengan artis baru. Saya terbuka untuk sesiapa sahaja menciptakan lagu buat saya asalkan lagu itu sesuai dengan suara saya.
“Saya suka memberi peluang kepada pemuzik baru,” katanya menutup temu ramah.