BAGAN SERAI: Penyusutan paras air di Empangan Kolam Tasik Bukit Merah di sini tidak menjejaskan hasil tangkapan ikan bagi nelayan darat yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kolam ini.
Tinjauan mendapati aktiviti tangkapan ikan oleh nelayan darat di tasik ini dilakukan seperti biasa.
Difahamkan terdapat lebih kurang 30 nelayan darat beroperasi di situ.
Seorang nelayan darat, Abdul Rahim Che Meh, 60, berkata, meskipun demikian pergerakan bot untuk keluar ke kawasan tangkapan agar sukar.
Menurutnya, ini kerana biasanya apabila paras air normal pergerakan bot hanya mengambil masa lima minit sahaja untuk sampai ke kawasan lubuk ikan.
“Namun apabila berlakunya penyusutan air, pergerakan bot untuk keluar mengambil masa sekitar 45 minit.
“Ini kerana bot terpaksa mengelak akar serta tunggul pokok yang ada di dalam tasik empangan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Nelayan Darat di Kampung Tebuk Panchur di sini semalam.
Menurutnya, pendaratan ikan dari jeti itu tidak berkurangan walaupun air kolam tasik itu susut.
Katanya, sebaliknya hasil tangkapan ikan bertambah kerana ikan akan terkumpul pada kawasan yang ada air sahaja dan ini memudahkan nelayan menebarkan jala.
“Antara ikan yang didaratkan di kolam ini ialah seperti baung, tilapia, lampam dan toman,” katanya.
Katanya, dia memperoleh RM2,000 sebulan hasil pendapatan dari menangkap ikan di kolam itu. – UTUSAN










