A. Aida elak ‘serah tengkuk’ kacau rumah tangga orang - Utusan Malaysia

A. Aida elak ‘serah tengkuk’ kacau rumah tangga orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit drama, Datuk A. Aida mengakui se jak lima tahun bergelar janda, dirinya menjadi buruan ramai lelaki termasuk mereka yang berstatus suami orang. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penerbit berusia 53 tahun ini berkata, dia bagaimanapun memilih untuk tidak terjebak menjalin hubungan dengan suami orang sekali gus mengelak daripada dilabel sebagai perosak rumah tangga orang lain. 

“Saya tak menolak memang ramai yang mendekati dan ajak saya kahwin. Tetapi boleh dikatakan, 80 peratus daripadanya adalah suami orang. 

“Maaf ya, memang saya elak suami orang. Bagi saya, diri ini tidak layak untuk dikongsi. Paling penting, saya tak nak menyakiti hati wanita lain. 

“Saya sendiri sudah ada segala-galanya, kenapa nak ‘serah leher’ mahu kacau rumah tangga orang?” katanya. 

Mengakui tidak serik untuk mendirikan rumah tangga walaupun empat kali menemui kegagalan, A. Aida selesa untuk bersikap memilih dalam soal teman hidup. 

Bagaimanapun, pada masa yang sama, penerbit ini menafikan bahawa dia cuma mahukan lelaki yang kaya dan berharta sebagai pasangan hidupnya. 

“Saya memang memilih. Rasanya semua orang tahu taste saya. Tetapi, mencari lelaki yang kaya bukanlah keutamaannya. Macam yang saya katakan tadi, saya dah ada segalanya. 

“Apa yang saya cari pada seorang lelaki itu ialah, sifatnya yang memahami, pandai jaga diri, tak kaya tak apa janji ada kerjaya sendiri dan tidak menyusahkan kita. 

“Umur pun tidak penting. Namun satu yang saya harapkan ialah lelaki itu mesti seorang yang pandai jaga kesihatan sebab saya ini pun kaki gimnasium. Lima hari setiap minggu mesti wajib pergi bersenam di gym sebagai rutin,” katanya. 

Dalam pada itu, A. Aida turut mengakui, sepanjang menjalani hidup sebagai ibu tunggal, sunyi di hati bagaikan teman karibnya. 

“Tipulah kalau cakap tak sunyi. Sebab itulah saya mencari pasangan, cuma belum jumpa lagi yang sesuai. Lagipun, setiap orang pasti perlukan peneman di sisi, begitu juga saya. 

“Anak-anak pun semuanya sudah membesar dan masing-masing ada kehidupan sendiri. Yang sulung bakal berkahwin pada Julai ini, yang kedua pun akan terbang ke luar negara kelak untuk sambung belajar manakala yang bongsu pun bakal ada kehidupan sendiri. 

“Jadi saya ambil nasihat kawan-kawan yang turut mendoakan agar saya bertemu jodoh lagi, adalah juga peneman di sisi,” katanya.

Aida pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis kumpulan Spring, Ameng pada 1994, tetapi bercerai pada 2003. 

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua anak perempuan, Wan Az Aleesa, 22, dan Wan Azevanatassha, 17. 

Dia seterusnya mendirikan rumah tangga dengan pegawai polis, Sufian Sulaiman pada 2007, namun berpisah pada 2013. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rahul, 10. 

Dia juga pernah berkahwin dengan seorang lagi anggota polis dan terakhir dengan pelakon Ari Aziz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN