Kewartawanan muzik sudah hampir mati - Utusan Malaysia

Kewartawanan muzik sudah hampir mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA dihadiahkan peluang besar oleh Syed Omar Husain, Nur Hanim Khairuddin dan Zulhamizan dari PORT Ipoh. Mereka menjemput saya untuk bersama-sama berbual dengan Ketua Pengarang Jakarta Post, Taufiq Rahman.

Banyak hal yang dibualkan tetapi saya mahu menarik perhatian anda pada satu hal – kewartawanan muzik.

Sebab termuntah dari mulut Taufiq pada satu ketika bahawa di Indonesia, kewartawanan muzik sudah hampir mati. Otak saya terkejung seketika apabila mendengarnya.

Sebab saya menyanjungi portal Pop Hari Ini, khususnya penulisan-penulisan kritis Syarif Maulana tentang muzik pop Indonesia. Saya juga kagum pada kemampuan penulis muzik Indonesia menerbitkan naskhah kecil tetapi signifikan seperti buku Rap Sopan: Menilik Hip Hop Indonesia Periode 1990-an oleh William Yanko.

Tradisi penulisan muzik sebegini tidak mekar di Malaysia. Berapa sangat buku muzik di Malaysia diterbitkan setiap tahun.

Tapi pada pandangan Taufiq, itu tidak cukup. Mekarnya tak cukup kembang, aktifnya tak cukup tenaga.

Pertembungan pandangan saya dan Taufiq ini nampak seperti mutlak. Hanya ada dua kemungkinan: saya betul, Taufiq salah atau saya salah, Taufiq betul. Sebenarnya tidak.

HAUS GURUN

Analoginya begini. Kalau saya sesat di gurun kering tanpa minuman, sebotol air mineral saya anggap seperti setelaga air tembikai bazar Ramadan. Kekurangan sumber membuatkan kita menghargai apa saja yang ada. Benda kecil pun kita anggap besar.

Sebab itu saya memandang tinggi Syarif Maulana dan William Yanko, sebab saya sedang kehausan di tengah gurun muzik Malaysia yang gersang kritik dan wacana.

Berbeza dengan Taufiq yang pernah bercucuk tanam dalam ladang kewartawanan muzik Indonesia yang subur. Beberapa batang pokok yang hidup subur belum mampu membuahkan keterujaan.

Itu titik perbezaan pandangan saya dengan Taufiq.

MENJADI WACANA

Kita bukan tidak ada pengkritik atau penulis muzik yang baik. Ramai yang berpotensi tapi tanah ini belum subur untuk melahirkan penulis muzik yang kritis.

Penulisan kritis tumbuh masa ke masa tetapi ia tinggal kata-kata yang disusun pada skrin. Tidak ada pertembungan idea; tidak ada wacana. Mekarnya sekejap kemudian melayu tanpa jagaan.

Saya baca rantaian reaksi terhadap artikel Penyair Perlu Memahami Puisi Sendiri? oleh Raja Yusoff Ariffin di Dewan Sastera. Ia menjemput pelbagai reaksi yang berlanjut-lanjut sehingga idea asalnya itu – walaupun banyak dikritik – menjadi wacana.

Dan dalam rantaian reaksi itu, saya bertemu satu lagi pandangan semacam Taufiq, iaitu dari Hidayyah AT Mizi yang mendakwa ranah sastera tempatan kurang pengkritik.

Saya – walaupun hanya pada dasar – mengikuti juga beberapa figura sastera negara. Saya fikir kritikan dalam lapangan sastera subur. Tapi mengapa Hidayyah mendakwa sebegitu?

Sekali lagi, mungkin saya sedang kehausan di gurun gersang.

MEMILIH DIAM

Saya fikir ada beberapa potensi membina wacana dalam lapangan muzik independen tempatan sudah dilepaskan. Contohnya artikel ulasan Anugerah Lagu Indie oleh Junklist dan The Case Against Tribute Gigs oleh Noisy Headspace.

Kedua-dua artikel ini padat dan berisi, yang sepatutnya boleh dikritik semula dan dilanjutkan. Tapi sayangnya, ia habis setakat perkongsian dan cakap-cakap dalam media sosial.

Saya sendiri gagal melanjutkan idea-idea itu menjadi wacana. Ia satu kerugian.

Namun, saya juga faham tentang keterbatasan lapangan. Menulis kritikan boleh mengundang banyak tekanan. Akhirnya, kita memilih diam.

Tekanan yang datang kadang kala tidak berbaloi untuk ditanggung. Tuduhan moral, manipulasi kata-kata, serangan peribadi: semua ini beban yang besar untuk ditanggung. Jadi saya faham kalau ada media yang memilih untuk berhenti mengkritik.

Saya sendiri berfikir banyak kali untuk menulis artikel sebegini. Ia mungkin mengundang tekanan nanti tapi saya fikir, lebih baik makan maki dari makan hati.

Harapan saya, kita mampu cari jalan untuk menyuburkan lapangan muzik independen dengan kritikan dan wacana. Saya yakin, kalau muzik independen boleh memulakan, ia akan berjangkit akhirnya ke lapangan yang lebih besar.

Ketika industri muzik kita menerima kritikan dan wacana sebagai unsur penting yang perlu selalu dibaja, waktu itu penghargaan muzik akan tertuai dan muzik mula dipandang serius.

Kerana muzik bukan sekadar hiburan. Ia menghiburkan tetapi ada juga fungsi pendidikan dan sosialnya. Muzik bukan hanya seputar isu artis cerai dan hal trivial lain.

Pengalaman seminggu ini saya fikir sangat berharga. Bertemu Taufiq, membaca Hidayyah.

Pada akhir penulisan ini baru saya perasan keserasian dua nama itu. Ini mungkin waktu paling wajar untuk saya tutup penulisan dengan ucapan wabillahi taufiq wal hidayah. Untuk semua yang membaca hingga ke akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.