KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 daripada 351 buah sekolah di Sarawak diluluskan bagi projek naik taraf dan pembinaan bangunan gantian dalam Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 1 (RP1) tahun 2021 hingga Rolling Plan 3 tahun 2023 Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, selain itu, KPM juga sedang mengenal pasti jumlah sekolah daif dalam negara ini dan sedang dalam usaha untuk menanganinya.
Katanya, KPM sentiasa proaktif dan memberi keutamaan dalam usaha menangani sekolah yang mempunyai bangunan daif di seluruh negara termasuk di Sarawak.
“Untuk makluman, berdasarkan data KPM sehingga April 2022, bilangan sekolah yang mempunyai bangunan daif di Sarawak adalah berjumlah 351 buah.
“KPM telah mengemukakan permohonan pembinaan bangunan gantian untuk 12 buah lagi sekolah di Sarawak dalam Rolling Plan 4 Tahun 2024,” katanya.
Selain daripada projek pembangunan di bawah RMKe-12, kata Hui Ying, kerajaan juga telah meluluskan 147 projek baik pulih bangunan daif di bawah peruntukan projek RM1 bilion di negeri Sarawak.
Katanya, dari tahun 2016 sehingga kini, sebanyak 381 projek pembangunan semula sekolah daif di Sarawak yang telah diluluskan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 223 projek telah siap.
Berhubung permohonan projek menaik taraf atau pembinaan gantian bangunan daif yang belum mendapat kelulusan, beliau berkata, KPM akan mengemukakan permohonan secara berfasa kepada pihak agensi pusat untuk dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT).
“Walau bagaimanapun kelulusan dan pelaksanaan projek ini adalah tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan semasa kerajaan,” katanya.
Beliau membuat penjelasan itu bagi menjawab Senator Susan Chemerai Anding yang minta KPM menyatakan apakah status terkini 455 buah sekolah menengah dan sekolah rendah di Sarawak yang dikenal pasti sebagai daif dan dalam keadaan kritikal sehingga April 2022. – UTUSAN