TUMPAT: Kira-kira 300 penduduk di Kampung Kubang Batang di sini berdepan ‘derita’ sejak dua minggu susulan bekalan air bersih di kawasan mereka terputus sekali gus mengganggu kehidupan harian mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan bekalan air bersih selain berjimat cermat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Shahriezan Yahya, 38, berkata, dia terpaksa menggunakan sumber dari tali air untuk kegunaan harian.
Menurutnya, dia terpaksa berbuat demikian selepas tidak mempunyai pilihan walaupun kualiti air agak keroh.
“Biasanya gangguan bekalan air hanya berlaku antara satu hingga dua hari sahaja. Namun kali ini sudah lebih dua minggu penduduk berdepan dengan masalah itu.
“Selain itu setiap kali hujan saya akan menadah air tersebut untuk mandi dan mencuci pakaian serta kegunaan lain,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Batang, di sini semalam.
Shahriezan memberitahu, walaupun pihak Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menyediakan perkhidmatan lori tangki namun disebabkan laluan rumahnya yang sempit, dia tidak dapat menikmati kemudahan itu.
Katanya, disebabkan masalah itu dia terpaksa ‘bercuti’ daripada berniaga di pasar malam sekali gus menyebabkan ‘kantung’ kewangannya semakin nipis.
Sementara itu, seorang peniaga kedai makan, Rosli Zakaria, 50, memberitahu, dia terpaksa berjimat cermat menggunakan air.
Katanya, semua urusan tergendala selepas tidak dapat mencuci pinggan, mangkuk dan gelas serta peralatan lain disebabkan masalah tersebut.
“Kalau masalah ini berterusan tidak mustahil kedai kami tidak beroperasi. Setiap malam saya terpaksa ‘berjaga’ dengan harapan air ada, namun hampa,” ujarnya. – UTUSAN











