PETALING JAYA: Pasangan selebriti dan usahawan terkemuka, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel berhabis jutaan ringgit menaja program realiti, Big Stage musim kelima menerusi perniagaan diasaskan mereka, Wawa Cosmetics.
Berkongsi keterujaan, Wawa bagaimanapun sedar dengan tanggungjawab dan amanah yang harus dijalankan sebagai penaja sebuah program realiti yang mendapat sambutan terutama dalam kalangan anak muda.
“Orang mungkin ingat menjadi penaja ini akan popular, tapi ada beban dan tanggungjawab besar perlu kami galas.
“Kos yang dikeluarkan juga bukan jumlah kecil. Jadi, ini ibarat satu pertaruhan berani daripada Wawa Cosmetics,” katanya.
Penglibatan pasangan tersebut menjadikan mereka artis pertama yang menaja program TV tempatan yang mana sebelum ini dimonopoli oleh usahawan kosmetik.
Dalam pada itu, kongsi Wawa lagi, mereka pernah beberapa kali ditawarkan untuk menaja program realiti di stesen televisyen lain namun tidak dapat memenuhi komitmen tersebut disebabkan kekangan masa.
“Sebelum ini kami ada juga mendapat tawaran untuk menaja beberapa program TV lain, tapi mungkin ketika itu masa tidak kena. Selain anggap belum rezeki kami bersama dengan program terbabit.
“Untuk kali ini, kami ditawarkan untuk menaja Big Stage pula. Selepas mempertimbangkan beberapa perkara dan melihat perkembangan program ini dari musim pertama, itu yang saya dan Aeril bersetuju.
“Insya-Allah, dengan sambutan yang diberikan pada program ini, jenama kami juga boleh bergerak seiring,” ujarnya.