PUCHONG: Kegiatan berkebun dimonopoli warga asing di Pulau Meranti di sini masih berjalan seperti biasa tetapi selepas waktu bekerja kumpulan tersebut bermalam di hutan bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa.
Tinjauan Utusan Malaysia pagi semalam mendapati pekerja asing terlibat berada di kebun sayur melakukan kerja-kerja pembajaan, mengutip sayur dan penanaman pokok baharu.
Dalam masa sama, kelihatan sekurang-kurangnya empat buah kenderaan pacuan empat roda dengan logo Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta beberapa pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) lalu lalang di laluan utama ke kawasan kebun haram itu.
Seorang pegawai polis yang didekati memberitahu, selepas pendedahan akhbar mengenai kewujudan aktiviti kebun haram baru-baru ini, PDRM, MPS serta TNB mengadakan satu mesyuarat tergempar dan membuat tinjauan ke kawasan tersebut, semalam.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan Pulau Meranti yang ditemui berkata, warga asing di kawasan tersebut tidak lagi tidur di rumah kongsi masing-masing sebaliknya mereka masuk ke dalam hutan di sekitar kawasan tersebut.
“Saya bersarapan di kedai makan di pekan Pulau Meranti, makan roti canai pagi semalam. Saya seorang di kedai ketika itu. Tiba-tiba datang seorang warga Indonesia yang saya kenal sebab dia sudah lama berkebun secara haram di Pulau Meranti.
“Dia beritahu sudah beberapa hari tidak tidur malam sebab berjaga-jaga, khuatir jika dibuat serbuan pihak berkuasa seperti di Cyberjaya pada Februari lalu. Dia lari ke dalam hutan,” ceritanya.
Kata penduduk itu, selepas pendedahan akhbar ini mengenai kegiatan mereka di Pulau Meranti, warga asing terlibat lari dan tidur di hutan dengan ada yang tidur di celah pokok.
Seorang lagi penduduk tempatan yang ditemui berkata, penguat kuasa berdepan cabaran untuk membuat serbuan di kawasan penempatan haram itu kerana warga asing disyaki mengamalkan ilmu hitam bagi mengelak ditangkap.
“Selain itu, seorang penguat kuasa memberitahu saya, warga asing ini memecahkan botol-botol kaca, paku serta benda-benda tajam dan menabur di kawasan hutan berhampiran kawasan persembunyian mereka supaya pihak berkuasa sukar masuk ke kawasan itu,” katanya. – UTUSAN










