KOTA BHARU: Seorang buruh etnik Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya di Kampung Pok Boh di sini, bulan lalu.
Abdul Shukor, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Myanmar di hadapan Majistret R. Vinoshen. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Myanmar didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Mohammed Tuasin, 18. Perbuatan itu dilakukan di bangsal kayu berhadapan Tanah Perkuburan Islam Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh di sini, kira-kira pukul 4.20 petang hingga 9.38 malam pada 18 September 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 14 Disember ini untuk sebutan semula kes dan serahan beberapa laporan daripada pakar bedah siasat.
Terdahulu, Abdul Shukor sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 1 Oktober lalu, namun prosiding pendakwaan kes tersebut terpaksa ditangguhkan selepas tertuduh tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu.
Pada 19 September lalu, seorang remaja lelaki etnik Rohingya berusia 18 tahun ditemukan maut dengan kecederaan pada leher, dipercayai dibunuh menggunakan objek tajam berhampiran bangsal sebuah rumah yang dalam pembinaan di Taman Desa Kujid, Kampung Panji. – UTUSAN











