Wajibkan saringan, temuduga ambil guru baharu

Wajibkan saringan, temuduga ambil guru baharu

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kementerian Pendidikan mesti melakukan saringan dan temuduga dalam pengambilan khas kira-kira 19,000 guru baharu di seluruh negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Jasni Md. Kechik berkata, pengambilan guru tidak boleh dibuat secara sembrono bagi mengelak watak pendidik yang kurang sesuai sebagai model kepada murid.

Katanya, walaupun wujud masalah kekurangan guru yang cukup mendesak di sekolah, mereka yang dipilih perlu sesuai dengan watak sebagai seorang pendidik anak bangsa pewaris negara.

“Tindakan proaktif Kementerian Pendidikan bagi mengatasi kekurangan guru dipuji walaupun masalah itu tidak mungkin selesai sepenuhnya sampai bila-bila berikutan mobiliti dan pergerakan guru itu sendiri.

“Kekurangan guru di sekolah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak disebabkan persaraan wajib, bersara pilihan, pertukaran ihsan dalam dan luar negeri dan dalam daerah,” katanya di sini semalam.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia melaporkan, pengambilan kira-kira 19,000 guru menerusi pengambilan khas dianggap belum cukup untuk menangani isu kekurangan guru di seluruh negara.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Fouzi Singon mempersoal sejauh mana angka itu mencerminkan keperluan sebenar bilangan tenaga guru ketika ini.

JASNI MD. KECHIK

Mengulas lanjut, Jasni berkata, kekurangan kira-kira 19,000 guru itu dikira logik jika diambil kira nisbah bilangan murid dan guru di seluruh negara apabila berlaku faktor seperti persaraan wajib, bersara pilihan, pertukaran ihsan dalam dan luar negeri dan dalam daerah.

“Oleh itu, institut pendidikan guru (IPG) perlu melahirkan ramai guru kluster mata pelajaran yang boleh mengajar dalam banyak subjek tanpa hanya opsyen tertentu sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggesa Kementerian Pendidikan dan universiti tempatan yang mengambil ikhtisas pendidikan untuk duduk membincangkan mekanisme unjuran guru akan datang.

“Pada pengamatan saya, ada universiti tempatan menawarkan kursus pendidikan tidak selari dengan keperluan pendidik terkini. Jadi kepakaran Kementerian Pendidikan melalui IPG dan universiti tempatan perlu dimanfaat sepenuhnya supaya tenaga pengajar yang menjadi arkitek negara menepati keperluan dan berkualiti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×