Ulang alik Malaysia-Indonesia, Uyaina Arshad letak syarat - Utusan Malaysia

Ulang alik Malaysia-Indonesia, Uyaina Arshad letak syarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN tidak pernah dia mengadu penat, namun kerjaya sebagai anak seni sememangnya menuntut masa dan komitmen yang tinggi. Penat namun itu tidak pernah mematahkan semangat untuk dia terus berjuang.

Bagi pengacara dan pelakon, Uyaina Arshad, biarpun statusnya sebagai isteri dan ibu mungkin dilihat sedikit menghalang, tetapi peluang yang datang untuk mengacara program popular di Indonesia tidak harus dilepaskan.

Bakal berkelana selama tiga bulan ke negara republik itu bulan hadapan, Uyaina bagaimanapun harus bersedia dari segi mental dan fizikal. Sementelah sudah lebih dua tahun dia tidak mengacara program D’Academy Asia.

“Mula-mula saya fikir, mungkin mereka tidak akan tawarkan peluang itu lagi. Terutama selepas saya sudah berkahwin dan kini seorang ibu. Tetapi kalau sudah namanya rezeki, tidak ke mana kan?

“Tetapi saya minta izin suami dulu. Mahu berkelana ke negara orang ini bukan sesuatu yang mudah. Memang saya akan ulang-alik Malaysia-Indonesia tetapi masa yang ada itu sangat terhad.

“Saya juga perlu bersedia dari segi fizikal dan mental. Program D’Academy ini sangat popular. Penontonnya berjuta. Sesi siaran langsung pun berjalan lima jam. Jadi memang perlu stamina tinggi,” ujarnya.

Meletakkan beberapa syarat sebelum bersetuju, isteri kepada penyanyi, Raja Syahiran itu bakal terbang bersama anak, Raja Urhan dan turut ditemani ibunya.

“Sebelum saya sempat minta izin, suami sudah setuju. Dia tidak pernah halang saya untuk mengembangkan bakat tidak kira di mana. Dia tahu, saya mampu jaga diri dan sedar status sebagai isteri dan anak.

“Saya juga ada letakkan syarat antaranya pihak Indosiar harus menyediakan rumah sebagai kediaman kami selama tiga bulan di sana. Sebelum ini tidur di hotel, etapi bila bawa anak dan ibu, lebih senang jika tinggal di rumah.

“Dalam tiga bulan itu juga, saya akan berulang alik ke Malaysia kerana terlibat dengan beberapa komitmen dan program siaran langsung. Pihak Indosiar terbuka dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

DUTA, LAKONAN

Berkongsi perkembangan seni, Uyaina meluahkan rasa teruja apabila kembali ke set penggambaran drama Tanah Kubur arahan sutradara tersohor, Rashid Sibir.

Malah, pelakon yang sebelum ini pernah berkongsi kerinduannya untuk kembali ke set penggambaran juga bakal terlibat dalam drama bersiri baharu, Langkah Mayat tidak lama lagi.

“Memang rindu berlakon tetapi saya selektif juga dalam memilih skrip. Tidak boleh tamak, terima semua. Bila dapat tawaran daripada Rashid Sibir, takkanlah saya hendak tolak kan? Memang tidaklah.

“Saya suka berlakon sebab kita boleh bawa karakter berbeza daripada peribadi sebenar. Itu antara sebab saya sangat rindu untuk kembali berlakon. Terutama selepas melahirkan anak tahun lalu.

“Dalam pada masa sama, saya tetap mengacara dan bakal tampil dengan program bual bicara sendiri di Astro Oasis tidak lama lagi,” ujarnya.

Tambah pengacara Wanita Hari Ini lagi, dia juga berbesar hati apabila dilantik sebagai duta produk kesihatan, Herbs Of Gold yang berpangkalan di Australia.

“Gembira apabila kita dikenali dan diterima oleh satu jenama antarabangsa. Herbs Of Gold adalah produk kesihatan antarabangsa. Saya juga seorang yang memang menjaga kesihatan dan mengamalkan pengambilan suplemen terbaik.

“Herbs Of Gold juga produk kesihatan yang boleh didapati dia semua rangkaian Caring Pharmacy. Jadi tidak perlu untuk kita ragu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya