UiTM jangka terima 70,000 permohonan kemasukan baharu

UiTM jangka terima 70,000 permohonan kemasukan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dianggarkan sebanyak 17.3 peratus atau 70,000 daripada 403,637 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 memohon menyambung pengajian ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi kemasukan semester September ni.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 22,000 hingga 25,000 calon akan ditawarkan tempat bagi kemasukan pada semester akan datang.

“Kita cuba sedaya upaya (membantu) namun mereka perlu mematuhi kriteria. Kena ikut merit. Itu sebab kita ada sistem, mana yang layak dahulu, mereka masuk maklumat dalam sistem dan mohonlah bidang dikehendaki. Jadi peluang hendak dapat lebih mudah. Tak layak (bidang dikehendaki), tetapi mohon juga memang kena tolak.

“Bila keputusan SPM keluar, kita buka pada 20 Mei. Pelancarannya oleh kementerian pada 21 Mei tak silap saya di Johor. Tetapi untuk kami, 3 dan 4 Jun nanti ada Ekspo Selangkah Ke UiTM,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Majlis Sua Raya Aidilfitri, semalam.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pemisahan Pusat Pengajian Komunikasi dan Media (PPKM) daripada Kolej Pengajian Perkomputeran, Informatik dan Media (KPPIM) sedang dilaksanakan.

Menurut beliau, pemisahan tersebut melibatkan pembentukan semula Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media menggunakan nama seperti sebelum ini dan barisan kepemimpinannya.

“Kita sudah bawa masuk ke dalam Majlis Eksekutif UiTM (MEU), Insya-Allah kita akan bawa ke Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dahulu dan kementerian. Memang perkembangannya baik. Kita sudah ada tindakan yang hendak dilaksanakan.

“Kita juga ada minit perjumpaan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi dan kita akan laksanakan mengikut proses yang teratur. Mungkin semester depan sudah boleh mula. LPU sahaja belum bersidang lagi untuk membincangkan perkara tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×