Tuntutan palsu Penjana Kerjaya: 4 lagi pengarah, pemilik syarikat ditahan SPRM - Utusan Malaysia

Tuntutan palsu Penjana Kerjaya: 4 lagi pengarah, pemilik syarikat ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi pengarah dan pemilik syarikat membabitkan kes tuntutan palsu dana di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (Penjana Kerjaya).

Hasil tangkapan terbaru ini menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang ditahan iaitu 65 individu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan penahanan itu.

Kata beliau, reman kesemua mereka telah dilakukan pagi ini dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan individu-individu lain.

Semalam, seramai 12 lagi individu dipercayai terlibat dalam kes tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya ditahan di seluruh negara melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM63 juta.

Penahanan kesemua suspek berusia 29 sehingga 53 tahun itu dilakukan semalam secara serentak di seluruh negara dalam operasi khas Op Hire 2.0.

SPRM masih lagi meneruskan operasi Op Hire 2.0 bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan yang dilihat sebagai isu yang serius.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lebih 100 syarikat berstatus sendirian berhad dipercayai telah berada dalam ‘radar’ SPRM selepas disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya.

Syarikat daripada pelbagai sektor dan bidang itu dikenal pasti oleh SPRM hasil operasi dan risikan berterusan bersama skim Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dalam operasi khas Op Hire yang mengesan mana-mana individu ‘mengambil kesempatan’ melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana Kerajaan di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) ketika negara berdepan ancaman Covid-19 pada 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya