TNB ibarat 'nyawa manusia' pada zaman kini

TNB ibarat ‘nyawa manusia’ pada zaman kini

AMINUDDIN DOLL , NURUL INSYIRAH ABDUL HAMIUD dan AMIR MD. RAZUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kemudahan bekalan elektrik yang dinikmati rakyat pada hari ini wajar dihargai jika dibandingkan kehidupan dahulu yang bergantung dengan pelita minyak bagi menerangi kediaman masing-masing.

Pesara guru, Aminudin Doll, 65 berkata peningkatan perkhidmatan diberikan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga jelas dapat dilihat dari masa ke semasa yang begitu jauh berbeza berbanding berpuluh tahun dahulu.

“Saya lahir tahun 50an ketika itu hidup di kawasan Pengerang bergantung dengan pelita dan kami bergelap sebelum pada tahun 70an ada elektrik berpusat kemudian pada tahun 80an baru ada sambungan terus.

“Elektrik boleh diibaratkan sebagai nyawa manusia kalau tiada elektrik saya rasa kehidupan kita pada hari ini tidak akan dapat diurus dengan baik termasuklah dari segi pekerjaan, ekonomi dan keluarga. Terima kasih kepada TNB kerana menjadi ‘cahaya’ buat rakyat,” katanya.

Bagi Azmir Md Razuki, 35 pula memuji kualiti perkhidmatan ditawarkan TNB yang semakin baik apabila setiap aduan yang disalurkan kepada talian hotline kini mampu diselesaikan kurang dalam tempoh 24 jam.

Katanya, rakyat juga beruntung kerana kebanyakan jalan raya laluan utama di kawasan kampung terutamanya, kini sudah terang dengan adanya lampu jalan yang semakin banyak dipasang.

“Saya bersyukur kerana lahir sahaja sudah dapat nikmati bekalan elektrik. Ahamdulillah perkhidmatan TNB semakin bertambah-tambah baik, jika lihat 20 tahun ke belakang banyak jalan gelap liputan bekalan elektrik tidak menyeluruh.

“Kini kebanyakan jalan raya kampung semua sudah terang benderang. Masalah gangguan bekalan elektrik juga semakin cekap ditangani.

“Kalau kita bandingkan satu masa dahulu apabila ‘black out’ kena tunggu, sekarang adanya hotline TNB respon kurang 24 jam masalah mampu diselesaikan inilah yang rakyat mahukan perkhidmatan yang semakin baik dan baik diberikan,” katanya.

Nurul Insyirah Abdul Hamid, 34 pula berkata rakyat perlu bersyukur kerana kerajaan telah memperuntukkan subsidi untuk rakyat di negara ini untuk tenaga elektrik.

Katanya sewajarnya perkara itu perlu dihargai dengan cara menyambut baik kempen penjimatan agar sumber tenaga yang ada tidak kehabisan.

“Pemberian subsidi oleh kerajaan adalah antara faktor utama kadar tarif elektrik yang rendah di negara ini. Rakyat Malaysia perlu bersyukur tidak perlu berbayar lebih. Oleh itu kita jangan membazir kerana sumber tenaga ini boleh kehabisan.

“Perlu jadi rakyat bijak lebih penting mendidik anak-anak sejak kecil agar tidak membazir dalam penggunaan elektrik. Didik ahli keluarga menutup suis lampu, kipas atau alatan lain setelah meninggalkan bilik atau ruang agar dapat menjimatkan penggunaan elektrik, ” katanya.

Habis//

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN