Tiga individu direman empat hari kemuka tuntutan palsu

Tiga individu direman empat hari kemuka tuntutan palsu

TIGA individu yang didakwa mengemukakan tuntutan palsu kepada Perkeso dibawa di Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dua pengurus syarikat antara tiga individu yang direman empat hari bagi membantu siasatan dakwaan mengemukakan tuntutan palsu lebih RM250,000 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) antara tahun 2020 hingga tahun lalu.

Perintah reman empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat itu dikeluarkan ke atas ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 37 tahun oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Kuala Terengganu, Norina Maludin.

Suspek disyaki mengemukakan borang pengesahan mengandungi butir matan palsu di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA 2.0) walaupun penama bukan pekerja syarikat tersebut.

Penahanan kesemua suspek dilakukan bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu dua suspek lelaki berpakaian baju lokap SPRM berwarna oren dan seorang suspek wanita berbaju kurung merah tiba di Kompleks Mahkamah Negeri Terengganu pada pukul  9.30 pagi.

Ketiga-tiga suspek berkenaan ditahan di Kompleks SPRM kira-kira pukul 3 petang, semalam, ketika diminta hadir untuk memberikan keterangan berhubung kes tersebut.

Difahamkan, dua daripada mereka ialah pengurus di syarikat perkhidmatan sumber kemahiran manakala seorang lagi suspek iaitu lelaki berusia 29 tahun adalah pemilik syarikat komputer.

Syarikat perkhidmatan sumber kemahiran itu dipercayai menghantar tuntutan palsu lebih RM170,000 manakala syarikat komputer itu pula mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM85,000.

Kesalahan itu disyaki dibuat syarikat sumber kemahiran antara 2020 sehingga 2021 manakala syarikat komputer dipercayai melakukan tuntutan palsu pada 2021 sehingga tahun lalu.

Suspek pertama dan ketiga akan ditahan di lokap SPRM negeri manakala suspek kedua iaitu wanita berusia 37 tahun pula ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya