Tiga beradik antara empat maut kereta langgar belakang lori - Utusan Malaysia

Tiga beradik antara empat maut kereta langgar belakang lori

KEADAAN kereta dinaiki tiga beradik yang maut selepas melanggar belakang lori tanah di Kilometer 310.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Kampar hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Tiga beradik antara empat yang maut selepas kereta yang mereka naiki melanggar belakang sebuah lori tanah di Kilometer 310.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.

Mangsa yang maut dikenali Muhammad Azib Nasaruddin, 23, bersama dua adiknya, Siti Nur Aminah, 8, dan Ahmad Uwais Qorni, 5, selain seorang wanita, Azriyani Abdul Latif, 45.

Turut cedera parah dalam nahas itu ialah adik mangsa, Muhammad Fawwaz, 7.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, maklumat kejadian itu diterima pihaknya pada pukul 2.03 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dibantu BBP Gopeng diatur gerak ke lokasi bagi kerja-kerja penyelamatan.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki mangsa yang dipercayai telah melanggar belakang lori tanah di mana bahagian bonet kereta itu musnah terbakar lima peratus.

“Kebakaran itu bagaimanapun telah dipadamkan oleh orang awam. Terdapat dua orang mangsa tersepit di dalam kereta ketika kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, empat orang mangsa dalam kereta itu telah disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan manakala mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan.

Katanya, anggota segera mengeluarkan kesemua mangsa dari kereta dan menyerahkan kepada pihak polis dan ambulans untuk tindakan lanjut.

“Seorang mangsa yang maut mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki. Mayat kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Kampar dan operasi tamat pada pukul 4.25 pagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya