JOHOR BAHRU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengumumkan keluar UMNO serta merta bermula hari ini.
Pengumuman itu dibuat beliau menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi miliknya, sebentar tadi.
Mohd. Puad sehubungan itu berkata, beliau kita bebas mengkritik UMNO khususnya melibatkan sebarang isu yang melibatkan perbezaan pandangan peribadi beliau bersama hala tuju parti tersebut.
“Tanpa berat hati, saya umum keluar UMNO serta merta mulai hari ini 25 Jun 2026. Oleh itu UMNO tidak perlu bersusah payah memecat saya. Ia juga memudahkan saya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang. Kini saya bebas mengkritik UMNO satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia.
“Ada yang akan menuduh saya keluar UMNO kerana kepentingan diri. Buat apa saya keluar ketika UMNO dilihat kuat sehingga mahu berlawan solo di 56 kerusi. Saya tinggalkan UMNO disaat ramai pemimpin kembali masuk UMNO bila melihat parti tambah kuat. Maka siapa yang ada kepentingan. Mereka atau saya,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Tambah beliau, alasan utama keputusan itu dibuat adalah kerana terdapat campur tangan pihak Istana dalam membuat keputusan melibatkan UMNO.
“Alasan utama saya keluar UMNO ialah, UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan. UMNO Johor dikawal oleh Istana dalam membuat keputusan.
“Satu bukti jelas Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri buat pengakuan kepada saya semasa pertemuan di Saujana pada 21 Jun 2026. Dia maklum kepada saya bahawa pihak Istana yang titah kepada beliau agar DUN Johor dibubar pada 1 Jun 2026.
“Banyak lagi contoh contoh lain Onn Hafiz hanya pak turut. Itu menjadikan UMNO Johor boneka yang terikat. Saya perlu melakukan ‘keberanian politik’ mendedahkan kemungkaran ini sebelum menjadi parah.
“Saya sedar saya akan dikecam dan dihina. Mungkin juga keselamatan saya terancam. Tetapi berbekalkan ‘keberanian politik’, saya bersedia bertempur dalam apa jua keadaan,” katanya.
Mohd. Puad berkata, beliau enggan parti tersebut dipimpin individu yang pengecut sehingga menyebabkan calon BN diketawakan sebagai kitar semula, tiada aspirasi orang muda dan biasa-biasa sahaja.
“Saya bertawakkal kepada Allah. Kaulah pelindung yang tidak ada tolok bandingnya,” katanya.-UTUSAN










