Tiada perubahan dasar dalam isu kalimah Allah - Utusan Malaysia

Tiada perubahan dasar dalam isu kalimah Allah

ANWAR Ibrahim bersalam dengan jemaah selepas menunaikan solat Asar di Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Isu penggunaan kalimah Allah tidak perlu dipolemikkan kerana ia tidak melibatkan sebarang perubahan dasar yang sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana larangan penggunaan kalimah suci itu kepada bukan Islam adalah kekal dilaksanakan di Semenanjung.

Menurutnya, keputusan yang dibuat oleh mufti-mufti dan Raja-Raja Melayu itu tetap tiada sebarang perubahan dan isu itu tidak perlu dihebohkan.

“Jadi yang heboh ini kerana bantahan daripada individu di Sarawak kerana Sabah dan Sarawak dibolehkan dengan syarat tertentu.

“Ada beberapa suku kaum di Sarawak yang memang menggunakan perkataan (kalimah) itu sudah beratus tahun.

“Nak riuh rendah ni pasal apa? (Tuduhan) Anwar memang liberal, dia tunduk kepada DAP, dia memang nak merosakkan akidah umat Islam, sedangkan dalam perkara ini tiada perubahan dasar kita berhubung penggunaan kalimah Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ramah mesra bersama Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau Parlimen Tambun di Institut Tadbiran Islam (INTIM) di sini hari ini.

Menurut Anwar, kerajaan serius untuk menyelesaikan isu itu dengan mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.

Menurutnya, apa yang menjadi masalah ialah wujud beberapa peraturan yang tidak jelas dalam isu penggunaan kalimah Allah ketika ini dan perkara itu akan diperkemaskan.

“Ada masalah sikit kerana peraturan kita tak jelas dari segi Kastam untuk ambil tindakan dan sebagainya, maka kita kaji dan perkemaskan tetapi tidak melibatkan sebarang perubahan dasar,” katanya.

Semalam, Anwar berkata, Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri dalam kenyataan media berkata, ia bagi menyelesaikan isu kalimah ‘Allah’ secara menyeluruh dan bersepadu.

Ini berikutan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya