Jakim beri amaran kepada Vern’s

Jakim beri amaran kepada Vern’s

DATUK HAKIMAH MOHD. YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperingatkan dengan tegas kepada Vern’s Holdings Sdn. Bhd. agar sentiasa lebih peka terhadap isu-isu sensitif.

 Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff ketika mengeluarkan amaran itu malah menegaskan, ia turut meliputi kesemua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport.

“Pihak berkenaan diingatkan supaya sentiasa lebih cakna dan memberi perhatian serius terhadap sebarang isu sensitif melibatkan agama dan kaum,” kata beliau di sini hari ini.

 Terdahulu, para pegawai agensi itu mengadakan sesi pertemuan khas dengan pengasas yang juga pengarah urusan syarikat terbabit, Datuk Seri Ng Chuan Hoo selama lebih sejam.

 Beliau yang hadir seorang diri diminta membantu siasatan dan mengemukakan penjelasan mengenai isu itu serta langkah-langkah syarikat bagi mengelakkan kes berulang lagi.

Ia susulan arahan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar semalam untuk Jakim segara memanggil pengurusan Vern’s. 

Isu berkenaan tercetus ekoran pendedahan tular seorang pembeli menerusi media sosial yang mendapati corak tapak kasut wanita jenama tempatan itu menyerupai kalimah Allah.

Semalam, syarikat berkenaan telah mengeluarkan permohonan maaf kepada umat Islam dan menjelaskan situasi sebenar berhubung kekeliruan mengenai rekaan unik tersebut. 

Mengulas lanjut, Hakimah berkata, pihak Jakim memandang serius isu berkenaan kerana ia melibatkan sensitiviti masyarakat serta boleh menggugat perpaduan kaum dan agama.

“Syarikat tersebut telah pun mengambil tindakan drastik dengan menarik balik serta-merta produk itu daripada lebih 70 buah cawangan Vern’s ada di seluruh negara,” jelas beliau.

Pada masa sama, Jakim ujarnya, menyokong penuh tindakan polis mengadakan siasatan lanjut dan jika wujud elemen disengajakan syarikat itu, tindakan sewajarnya perlu diambil.

Agensi berkenaan juga tidak mahu kes sedemikian berulang lagi pada masa depan sama ada oleh pihak Vern’ sendiri atau mana-mana firma pengeluar produk jualan pengguna.

Hakimah bahkan mengingatkan bahawa semua pihak perlu mengambil iktibar dengan tidak lagi harus membangkitkan isu yang menyentuh aspek 3R iaitu agama, raja dan kaum.

Tindakan berkenaan kata beliau, harus dipelihara baik demi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat majmuk daripada tercetus ketegangan di dalam negara ini.

Berhubung tindakan susulan pula, beliau menambah, pihak Jakim menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi melakukan siasatan memandangkan kertas kes itu sudah dibuka polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN