'Tawaran kepada Hadi untuk kukuhkan ahli Parlimen Islam’

‘Tawaran kepada Hadi untuk kukuhkan ahli Parlimen Islam’

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin mengesahkan wujud tawaran untuk parti itu bekerjasama dalam kerajaan perpaduan bagi mengukuhkan kedudukan ahli Parlimen Islam di dalam kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau mendakwa, tawaran itu datang daripada seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik yang membentuk kerajaan perpaduan baru-baru ini.

Bagaimanapun, Hashim yang enggan mendedahkan siapa pemimpin parti itu berkata, Pas sukar menerimanya kerana dalam kerajaan perpaduan ada DAP.

Menurut beliau, pemimpin tersebut juga diketahui pendiriannya yang sentiasa berubah-ubah dan mungkin hari ini bercakap lain, esok pula bercakap lain.

“Mungkin dia nampak Islam seperti ditekan sekarang sete­rusnya mengajak Pas yang mempunyai ahli parlimen Islam pa­ling ramai menyertai kerajaan. Namun ia agak sukarlah, kerana ada DAP di dalam kerajaan itu.

“Pas mempunyai pengalaman lalu bekerjasama dengan DAP dan sudah pastinya sukar untuk bersama lagi khususnya di dalam kerajaan perpaduan ketika ini,” katanya semalam.

Justeru, kata Hashim, sin­diran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kononnya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebagai ‘pe­rasan’ apabila mendakwa ada pihak dalam kerajaan perpaduan menawarkan Pas menyertai kerajaan mungkin kerana beliau sendiri tidak tahu berhubung perkembangan itu.

Kelmarin media melaporkan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyindir Abdul Hadi sebagai ‘perasan’ apabila mendakwa ada pihak dalam kerajaan perpaduan menawarkan Pas menyertai kerajaan tersebut.

Timbalan Presiden PKR, Ra­fizi Ramli pula berkata, tidak mempunyai pengetahuan berhubung tawaran kepada Abdul Hadi untuk menyertai kerajaan, kecuali ada “pihak lain” me­lakukan sedemikian.

Sebelum itu, Abdul Hadi mendakwa, pernah dihubungi beberapa kali oleh ‘orang tertentu’ yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Abdul Hadi bagaimanapun dipetik mempersoalkan tawaran itu kerana tidak memberi kelebihan kepada Pas yang mempunyai kerusi yang lebih daripada parti lain.

Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata, Pas hanya diundang untuk berfungsi sebagai menyumbang peningkatan jumlah kerusi bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan perpaduan sahaja sedangkan sepatutnya parti itu menerajui kerajaan ke­rana memiliki kerusi terbanyak dalam Parlimen

Beliau dipetik berkata, Pas mempunyai 43 kerusi Parlimen berbanding PKR yang memiliki 30 kerusi dengan sembilan daripadanya bukan Melayu manakala DAP mempunyai 40 kerusi dengan tiga daripadanya adalah pemimpin Melayu dan jika digabungkan kerajaan itu akan didominasi oleh orang Islam.

Sebagai rekod, komposisi ahli Parlimen di dalam Kerajaan Perpaduan adalah terdiri daripada 50 wakil rakyat berketurunan Melayu diikuti ahli Parlimen Cina, dengan 43 orang, bumiputera Islam dari Sabah dan Sarawak (27 orang ), bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak (16 orang) dan India atau kaum-kaum lain (12 orang).

Pembangkang pula iaitu daripada Perikatan Nasional (PN) membabitkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai 70 wakil rak­yat Melayu.

Sementara itu, Hashim menegaskan, perjuangan Pas dite­ruskan bersama PN dan mana-mana parti lain yang sudi bekerjasama di dalam gabungan tersebut dengan matlamat sama iaitu perpaduan ummah.

Dalam pada itu, kata beliau, PN mempunyai peluang besar menawan Selangor dan Ne­geri Sembilan pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi selain terus mengekalkan penguasaan di Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Katanya, momentum sokongan terhadap PN khususnya orang Melayu semakin kuat menjelang PRN di enam negeri tersebut.

“Perkembangan mutakhir ini, tidak mustahil kita boleh menawan Selangor dan ia tidak mustahil melihat kepada sokongan semasa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa beliau tidak pernah menerima tawaran untuk mengajak Pas menyertai Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Pada masa sama, menurut Menteri Besar Terengganu itu, beliau tidak mengetahui sekiranya terdapat pemimpin Pas lain menerima tawaran tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN