Tak sangka ribut ketika cuaca panas - Utusan Malaysia

Tak sangka ribut ketika cuaca panas

NORITA Salleh menunjukkan keadaan siling rumah kakaknya yang rosak akibat dibadai ribut di Taman Baiduri, Alor Gajah, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang warga emas berdepan detik cemas selepas bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut pada petang Ahad lalu di Taman Bai­duri, Kuala Ina di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Noraini Saleh, 68, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, dia tinggal seorang diri dan sedang menyapu sampah di hadapan rumah.

Katanya, tiba-tiba terdengar bunyi deruman kuat seperti ada sesuatu yang datang meluru ke arahnya.

“Cuaca petang itu gelap, berangin dan hujan. Sedang me­nyapu sampah, saya melihat ada pembentukan pusaran angin­ kecil diikuti luruan angin yang kuat.

“Saya berasa cemas kerana luruan angin berkenaan turut menghasilkan bunyi yang kuat. Saya masuk ke dalam rumah dan dapati bumbung bilik tidur telah tercabut manakala lantai bilik dan ruang tamu basah akibat air hujan yang masuk melalui siling yang pecah.

“Bekalan elektrik masih tidak dapat digunakan kerana bimbang akan berlaku litar pintas. Saya terpaksa bergelap sementara waktu sehingga kea­daan kembali pulih,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Sementara itu, seorang lagi mangsa ribut, Norita Salleh, 58, berkata, dia tidak menjangkakan rumahnya akan dibadai ribut memandangkan cuaca panas dijangka berterusan sehingga Ogos.

Dia yang juga adik kepada Noraini berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana menetap di Kuala Lumpur.

“Saya bergegas pulang selepas kakak memaklumkan bumbung rumah saya turut rosak. Mujur rumah saya tak seteruk rumah kakak. Namun kerosakan ini perlu dibaiki segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN