PETALING JAYA: Kehadiran ibu Farid Kamil, Datin Sharifah Bardah Syed Abdillah yang berkerusi roda di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini hari ini, ternyata mencuri tumpuan ramai.
Farid dilihat penuh kesungguhan untuk mempertahankan mahligai rumah tangganya apabila turut membawa bapanya, Datuk Dr. Zahari Che Dan yang sanggup datang jauh dari Kedah ke mahkamah buat pertama kali.
Bagaimanapun, katanya, kehadiran ibu dan bapanya mungkin tidak disedari oleh isterinya, Diana Danielle yang terlebih dahulu memasuki kamar mahkamah.
“Diana tidak bertemu dan bersalaman dengan ibu bapa mentuanya yang hadir kali pertama hari ini untuk memberi sokongan dan doa kepada perkahwinan kami.
“Mungkin dia tidak nampak atau perasan sebab ramai yang memakai pelitup muka dalam mahkamah,” katanya selepas prosiding laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan sebutan pertama kes nusyuz yang difailkan oleh Farid, pada 6 April lalu.
Farid menegaskan tuntutan nusyuz yang difailkan terhadap isterinya bukan berniat untuk memburukkan lagi kemelut yang melanda rumah tangganya ketika ini.
Jelasnya, tuntutan tersebut dilakukan bagi menegakkan haknya sebagai seorang suami mengikut hukum Islam.
“Mengenai tuntutan nusyuz, saya failkan bukan kerana ingin memburukkan keadaan tetapi mempertahankan hak saya sebagai seorang suami.
“Dalam hukum-hakam Islam, perkara itu boleh diguna pakai,” katanya.
Mahkamah hari ini memutuskan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pasangan tersebut menemui jalan buntu susulan berlaku shiqaq (perbalahan) berpanjangan.
Farid juga enggan melafazkan talak seperti yang diminta oleh pihak mahkamah kerana masih dengan pendirian ingin menyelamatkan rumah tangganya.
Mahkamah sama menetapkan 15 Jun depan sebagai tarikh menetapkan prosiding hakam Islah bagi pasangan terbabit.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai, pada 10 Mac lalu, selepas mendakwa tiada lagi persefahaman antara mereka dan tidak dapat hidup bersama sebagai suami isteri.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 serta dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.