Sorok hampir 1.6 tan minyak masak peket untuk kaut untung lebih - Utusan Malaysia

Sorok hampir 1.6 tan minyak masak peket untuk kaut untung lebih

S. JEGAN (tengah) menunjukkan minyak masak peket 1kg yang dirampas daripada seorang peruncit yang disyaki cuba menyorokkan barangan itu dalam sidang akhbar di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN Pulau Pinang di Bukit Mertajam hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Taktik seorang pemilik kedai runcit menyembunyikan hampir 1.6 tan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram (kg) di rumahnya untuk mengaut keuntungan lebih akhirnya mengundang padah.

Ia berikutan kediamannya di Taman Seri Tambun, Simpang Ampat, dekat sini diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) kira-kira pukul 1.50 petang semalam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, serbuan itu dibuat hasil soal siasat yang meragukan terhadap peruncit terbabit iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 50-an.

“Sebelum serbuan dijalankan, penguat kuasa KPDN berpakaian preman membuat penyamaran dengan cuba membeli minyak masak peket di kedai runcit tersebut.

“Bagaimanapun, pemilik kedai runcit itu memaklumkan stok minyak masak paket di kedainya sudah lama tiada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN negeri, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jegan berkata, susulan dakwaan peruncit tersebut, pihaknya kemudian menjalankan siasatan lanjut sebelum mengesan stok minyak masak peket yang disimpan dalam kuantiti banyak di sebuah rumah tidak jauh dari kedai berkenaan.

“Ketika serbuan dijalankan, kami berjaya menemukan kira-kira 1,557 kg minyak masak peket terbabit yang disorokkan di di ruang tamu rumah itu,” jelasnya yang memberitahu, nilai rampasan barang kawalan itu secara keseluruhannya dianggarkan RM3,892.50.

Tambah Jegan, pemeriksaan lanjut mendapati, pemilik kedai runcit itu mempunyai permit barang kawalan berjadual, namun hanya dibenarkan menyimpan 500 kg minyak peket pada satu-satu masa.

“Justeru, tindakan lelaki itu menyimpan atau menyembunyikan stok minyak masak peket di rumah melebihi had yang ditetapkan boleh dianggap kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Dalam hal ini, KPDN menasihatkan mana-mana individu yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi bahawa mereka akan dikenakan tindakan serta-merta,” katanya.

Sementara itu, beliau mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai berhubung aktiviti penyelewengan barangan kawalan bersubsidi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya