SKMM kaji semula kerangka kawal selia platform media sosial

SKMM kaji semula kerangka kawal selia platform media sosial

JUMLAH kerugian akibat scam mencecah RM1.2 bilion. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan mengkaji semua kerangka kawal selia di platform media sosial susulan peningkatan ketara jenayah siber dan penipuan (scam) ketika ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, sejak 2021 hingga April lalu, jumlah kerugian akibat scam mencecah RM1.2 bilion seperti dilaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.

Beliau berkata, sejak penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada Oktober 2022, sejumlah 11,858 aduan berkaitan penipuan diterima setakat April lalu.

“Bagi tempoh yang sama juga, jumlah berita palsu yang dilaporkan kepada SKMM pula adalah sebanyak 2,125.

“Selepas meneliti kes salah guna dan ancaman siber itu, kami berpendapat wujud keperluan mengenakan dan menguatkuasakan kewajipan terhadap mereka yang mengendalikan platform sedemikian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, kajian semula kerangka kawal selia itu penting ekoran berlakunya peningkatan tahap kandungan dieksploitasi oleh penjenayah dan mereka yang cuba menganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara.

Mohamad Salim berkata, pihaknya mendapati terdapat beberapa aplikasi Over-The-Top (OTT) dan platform media sosial yang dilihat gagal mengawal selia penggunaan platform mereka.

Justeru, katanya, tindakan kawal selia yang lebih ketat dan campur tangan oleh pengawal selia adalah diperlukan bagi melindungi kepentingan pengguna dan orang awam.

“SKMM akan turut mengkaji semula pendekatan kawal selia untuk melaksanakan tahap pengawasan yang lebih tinggi menerusi instrumen perundangan sedia ada.

“Kami difahamkan, pihak pengawal selia dan rakan industri di Singapura, Vietnam dan Indonesia baru-baru ini telah atau dalam proses menggubal undang-undang bagi tujuan mengawal selia berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya