Siti Bainun mohon bebas dengan jamin, keputusan 23 Mei

Siti Bainun mohon bebas dengan jamin, keputusan 23 Mei

SITI BAINUN AHD RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuannya berhubung sabitan dan penjara 12 tahun akan diputuskan pada 23 Mei ini.

Hakim Datuk Ahmad Bache menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan ringkas pihak-pihak terlibat di sini hari ini.

Pada prosiding hari ini, Siti Bainun diwakili peguam bela, Ahmad Faiz Munawar dan Mohammad Farhan Maaruf manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Zilfinas Abbas.

Permohonan itu difailkan pada awal Mei lalu atas alasan Siti Bainun selaku pemohon mempunyai masalah kesihatan seperti asma dan penyakit hempedu, menanggung seorang ibu tua sakit yang memerlukan perhatian serta rawatan selain Siti Bainun masih bergiat aktif dalam kerja-kerja amal serta banyak menyumbang dalam kegiatan kebajikan.

Pada 3 Mei lalu, Mahkamah Sesyen di sini mensabitkan Siti Bainun atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan seorang remaja Sindrom Down, Bella di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021

Mahkamah menjatuhkan penjara 10 tahun bagi pertuduhan pertama (mengabaikan) manakala 12 tahun untuk pertuduhan kedua (menganiaya). Kedua-dua hukuman diperintahkan berjalan serentak.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.

Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju di sini antara bulan Februari dan Jun 2021.

Pada 25 November 2021, pengasas Rumah Bonda itu didakwa lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu, di lokasi dan tarikh sama, mengikut peruntukan seksyen yang serupa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN