SHAH ALAM: Selangor diyakini mampu mencapai perolehan negeri lebih jauh daripada sasaran RM2 bilion selepas negeri itu berjaya meraih 45 peratus daripada jumlah tersebut dalam suku pertama tahun ini.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, negeri penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar negara itu mampu mencapai sasaran walaupun berdepan kelembapan pertumbuhan ekonomi global.
“Pertumbuhan KDNK yang dijangka kekal positif sepanjang tahun ini, yang membawa tanda ekonomi yang makin berkembang. Selain itu sektor utama di Selangor seperti pembuatan dan perkhidmatan mencatatkan permintaan yang kekal tinggi.
“Walau bagaimanapun, tidak dinafikan pertumbuhan perlahan ekonomi global pada tahun ini bakal mengurangkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan dihasilkan oleh setiap negeri termasuk Selangor, namun masih ada ruang untuk peningkatan pendapatan yang turut disumbang oleh pasaran domestik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Selangor dijangka meraih lonjakan ekonomi ketara bagi 2023 selepas Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan negeri ini memperoleh RM893.11 juta dalam tempoh tersebut.
“Sehingga 15 Mac ini, pentadbiran ini berjaya mengutip RM893.11 juta, iaitu hampir 45 peratus daripada sasaran keseluruhan bagi tahun 2023. Ini kita berjaya kutip dalam tempoh kurang daripada tiga bulan pertama tahun 2023.
“Ini juga adalah tanda keyakinan rakyat dan komuniti perniagaan di negeri yang kita cintai ini terhadap pentadbiran ini yang mengemudi negeri ini hampir lima tahun sebelum kita memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya,
Justeru, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yakin pencapaian itu menjadi kekuatan partinya untuk berdepan PRN dan berharap pencapaian tersebut berterusan pada minggu dan bulan akan datang. – UTUSAN










