Budak enam tahun pandu kereta terlibat kemalangan

‘Saya nak pi kedai’ – Budak 6 tahun pandu kereta bersama adik 3 tahun terlibat kemalangan

KANAK-kanak berusia enam tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vios sebelum terlibat kemalangan di Jalan Bukit Tangga berhampiran Titi Chanwang di Ulu Melaka, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebuah kereta jenis Toyota Vios yang terbabas di bahu jalan didapati dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun bersama adik lelakinya berumur tiga tahun menjadi penumpang.

Kejadian kira-kira pukul 11.15 malam tadi berlaku di Jalan Bukit Tangga berhampiran Titi Chanwang, di sini yang disedari orang awam sebelum video memaparkan kenderaan berwarna putih itu terbabas tular di media sosial.

Menerusi video tersebut, kanak-kanak berusia enam tahun itu didapati tenang dan berulang kali memberitahu mahu ke kedai bersama adiknya ketika orang ramai bertanyakan di mana ibu bapa mereka.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari yang mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan mendapati kenderaan tersebut dipandu kanak-kanak terbabit tanpa pengetahuan ibu bapa mereka yang berada di rumah di Kampung Padang Mengkuang.

“Kereta tersebut dipandu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sejauh kira-kira 2.5 kilometer (KM) dari rumahnya bersama adik lelakinya yang menjadi penumpang.

“Mereka dari arah Ulu Melaka ke Nyior Chabang dan ketika sampai tempat kejadian kenderaan itu dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang lampu berhampiran Titi Chanwang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shariman berkata, pemandu kenderaan tersebut mengalami luka kecil di bahagian dagu, namun penumpang berkenaan tidak mengalami apa-apa kecederaan. Kereta tersebut pula mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri.

Tambahnya, siasatan awal mendapati bapa kedua-dua beradik itu sedang tidur, manakala ibu berada bersama mereka sebelum ke bilik air. 

“Selepas keluar bilik air, wanita itu mendapati kedua-dua anaknya tiada dalam rumah,” katanya yang memaklumkan siasatan lanjut sedang dilakukan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya