Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani belanja RM6.3 juta

Parlimen: Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani belanja RM6.3 juta di tiga negeri pembangkang 

ANWAR Ibrahim meluangkan masa menyantuni tetamu yang hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Hotel Raia, Kepala Batas, Alor Setar pada 29 April lalu. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah membelanja RM6.3 juta bagi penganjuran majlis kontroversi Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di tiga negeri jajahan pembangkang di Kedah, Kelantan dan Terengganu sebelum ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani Kedah mencatat kos tertinggi iaitu RM3.1 juta manakala Kelantan dan Terengganu masing-masing RM1.5 juta.

Katanya, rumah terbuka di Kedah adalah program peringkat kebangsaan yang turut membabitkan jemaah Menteri, perwakilan asing serta ketua Jabatan kerajaan.

“Jumlah perbelanjaan ini meliputi perkara seperti persiapan tempat, logistik dan jamuan.

“Jumlah kehadiran untuk program di Kedah adalah 25,000 orang manakala di Kelantan dan Terengganu masing-masing 15,000 pengunjung,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam. 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai jumlah perbelanjaan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Armizan berkata, penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri tahun lalu di Seri Perdana, Putrajaya memakan belanja sebanyak RM11 juta dengan kehadiran 70,000 orang.

“Rumah Terbuka Malaysia Madani membuka ruang lebih luas untuk membolehkan pemimpin kerajaan bertemu dan beramah mesra dengan rakyat di pelbagai lokasi,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri di tiga negeri pembangkang tidak mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Beliau berkata, ini kerana penganjuran majlis sama turut akan diadakan di tiga lagi negeri lain termasuk Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya