SHAH ALAM: Pelakon Lufya Omar, 38, berkata, tuntutan mutaah RM1 juta terhadap bekas suaminya, Dr. Che Muhammad Hafiz Che Baharum adalah jumlah yang wajar demi membayar pengorbanannya selama perkahwinan dan membesarkan anak.
Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar berkata, tuntutan itu juga dapat membantunya meneruskan kehidupan bersama-sama anak memandangkan kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Tuntutan mutaah itu adalah berdasarkan kepada pengorbanan saya dan apa yang sudah berlaku sepanjang perkahwinan.
“Dahulu, pendapatan saya kukuh. Selepas berkahwin, saya melepaskannya atas sebab-sebab tertentu. Untuk bangun semula, semua itu memerlukan masa yang agak panjang.
“Jadi jumlah itu wajar untuk saya terus merancang untuk kelangsungan kehidupan kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Lufya hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bersama peguam, Fakhrul Azman Abu Hasan bagi sebutan kes tuntutan mutaah.
Bagaimanapun, bekas suaminya, Che Muhammad Hafiz tidak hadir ke mahkamah bagi sebutan kes tersebut.
Dalam pada itu, Lufya berkata, dia mengambil masa tiga tahun untuk bersedia membuat tuntutan di mahkamah bagi mendapatkan pembelaan.
Katanya, proses perceraian mereka sebelum ini mengambil masa agak panjang dan dia perlu bersedia dari segi mental serta fizikal sebelum menuntut mutaah.
“Pada masa yang sama, saya perlu membesarkan anak. Walaupun cuma seorang anak, ia bukan mudah dengan keadaan saya dahulunya seorang artis yang sangat aktif bekerja.
“Saya tak pernah minta apa-apa pun selama ini walaupun barang. Saya beri masa untuk dia fokus memberi nafkah kepada anak. Saya pun nak stabilkan diri juga.
“Bila sudah difitnah, sebagai ibu tunggal saya mahu mendapatkan pembelaan. RM1 juta bukan nilai saya, tapi ia untuk keadilan,” katanya.
Perbicaraan bagi sebutan semula kes diadakan pada 26 Julai ini.
Terdahulu, Lufya memfailkan tuntutan mutaah bernilai RM1 juta terhadap Che Hafiz di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 2 Mac lalu.
Lufya dan Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Laana Haura, 5.
Mereka sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada 17 Jun 2020. – UTUSAN










