PETALING JAYA: Perasaan puas dan bangga jelas tergambar bagi pengunjung dan peserta memperaga pakaian daripada pelbagai etnik menerusi majlis rumah terbuka anjuran Pertubuhan Akademi Al-Bayan.
Malah rata-rata pengunjung menyifatkan ia bukan sekadar menjadi tarikan, sebaliknya menunjukkan dan memupuk hubungan toleransi yang baik antara etnik di negara ini.
Bagi Ali Kassim, 42, dia terpesona dan dapat merasakan kelainan suasana sebaik melihat pelbagai pakaian yang diperagakan.
Selain itu katanya, penganjuran seumpama itu turut memberi pengetahuan bukan sahaja kepada dirinya tetapi kepada anak-anaknya.
“Kebiasaanya kita boleh melihat mereka yang berbaju Melayu atau berbaju kurung sahaja pada majlis rumah terbuka.
“Tetapi dengan adanya majlis seperti ini, saya rasa ada kelainan tersendiri dan dapat bertukar-tukar pandangan serta meraikan Aidilfitri secara bersama-sama,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Dalam pada itu, bagi Pengerusi Pertubuhan Akademi Al-Bayan, Dr. Nur Muhammad Hadi Zahalan berkata, penganjuran berkonsepkan itu juga dapat memberi peluang kepada etnik lain memahami Islam dengan lebih dekat.
“Seperti yang kita tahu Islam adalah agama yang bersifat universal dan tidak membezakan antara lelaki dan wanita, berkulit putih mahupun hitam. Malah Islam tidak pernah mengajar kita menolak asal-usul keturunan, di mana seorang mualaf perlu mengubah status bangsa sebaik memeluk Islam.
“Justeru penganjuran ini dapat membuktikan perayaan Aidilfitri bukan eksklusif hanya untuk satu kaum tetapi maknanya lebih daripada itu. Oleh yang demikian Islam dapat diterima dari semua peringkat masyarakat tidak kira warna kulit, bahasa dan budaya,”katanya.
Dalam majlis itu, Akademi Al Bayan Global dan HD Group Sdn. Bhd. turut memperuntukkan RM14,000 sebagai duit raya kepada saudara mualaf dan asnaf.
“Ini adalah hasil sumbangan orang ramai yang menyalurkan zakat kepada Al Bayan dan kami hanya bertindak sebagai perantara yang menjalankan amanah agar sumbangan ini sampai kepada golongan sasar.
“Kita akan merencanakan pelbagai program, dengan melakukan kerja-kerja dakwah di lapangan khususnya membantu mualaf yang susah sekaligus dapat meningkatkan ekonomi mereka,” jelasnya. – UTUSAN










