Putus tunang, punca wanita maut ditikam bekas tunang - Utusan Malaysia

Putus tunang, punca wanita maut ditikam bekas tunang

POLIS mengangkat mayat wanita maut ditikam di sebuah pusat membeli-belah di Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Cemburu dan rasa tidak puas hati kerana ikatan pertunangan diputuskan dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak menikam bekas tunangnya hingga maut di sebuah pusat beli-belah, di sini kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kalsom Idris berkata, mangsa yang merupakan pembantu kedai dipercayai memutuskan hubu­ngan dengan suspek dua hari sebelum kejadian.

“Suspek ke tempat kerja mang­sa dengan niat untuk memujuk­nya. Namun mangsa enggan meneruskan hubungan mereka atas sebab peribadi.

“Susulan itu, suspek berasa berang dan bertindak menikam mangsa sebanyak lapan kali pada bahagian tubuh sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan oleh pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada polis.

Terdahulu, suspek menghubungi polis memaklumkan telah tertikam bekas tunangnya.

Apabila anggota polis tiba di lokasi kejadian, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah dengan kesan kece­deraan dipercayai akibat tikaman.

Menurut beliau, paramedik yang berada di lokasi kejadian te­lah cuba menyelamatkan mangsa dengan memberi bantuan pernafasan namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 1 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya