PETALING JAYA: Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan pemilihan pimpinan tertinggi yang bakal menyaksikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dipilih sebagai Presiden masih tergantung apabila tiada sebarang tarikh ditetapkan.
Difahamkan, parti itu masih berdepan kesukaran memilih tarikh dan lokasi yang sesuai untuk mengadakan pemilihan, manakala tarikh yang dijadual sebelum ini berdepan pelbagai kekangan sehingga mengakibatkan Putra terpaksa menangguhkan rancangannya.
Sebelum ini, pimpinan parti dijadual mengadakan mesyuarat agung bahagian 7 Mac lalu dan telah selesai, pemilihan barisan kepimpinan pula pada 8 April ini diikuti persidangan perwakilan peringkat pusat pada 7 Mei lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau menjangka mengadakan mesyuarat parti minggu depan sama ada menetapkan tarikh tertentu untuk proses pemilihan atau memohon penangguhan enam bulan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Katanya, pemilihan parti mesti diadakan sebelum 31 Jun 2023 selaras peraturan RoS.
“Punca parti tidak dapat menjalankan pemilihan lagi kerana terdapat antara 12 hingga 15 bahagian masih belum menghantar laporan persidangan bahagian.
“Jadi, peringkat Pusat masih menunggu laporan yang lengkap daripada beberapa bahagian lagi, kemudian dikumpul dan diserah kepada RoS. Kalau pun perkara ini tidak selesai, kami masih boleh memohon penangguhan pemilihan.
“Jadi, dijangka boleh buat pemilihan pada Julai atau Ogos bergantung pada keadaan semasa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mac lalu, Tun Mahathir yang telah sah menyertai Putra dilaporkan bakal mengambil alih kepimpinan parti dan dilantik sebagai Presiden menerusi ‘rombakan’ yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Perkara itu timbul selepas beliau diberi kad keahlian nombor satu dipegang Ibrahim semasa sidang akhbar Majlis Penyerahan Kad Keahlian dan Watikah Penasihat Putra, Tun Mahathir di Putrajaya. –UTUSAN










