PRN: Pulau Pinang bubar DUN hujung Jun ini - Utusan Malaysia

PRN: Pulau Pinang bubar DUN hujung Jun ini

CHOW Kon Yeow dalam sidang akhbar mengenai penyuraian trafik antara Juru- Sungai Dua (Lebuh Raya PLUS) di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penghujung Jun ini bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setiap negeri mempunyai pertimbangan mengenai waktu yang sesuai untuk membubarkan DUN masing-masing bergantung kepada majlis-majlis dan acara kerajaan di-negeri-negeri tersebut.

”Keenam-enam negeri (yang perlu mengadakan PRN) ada persetujuan yang mana DUN akan dibubarkan dua minggu terakhir pada pengujung Jun dan daripada kenyataan yang kita baca setiap negeri ada pertimbangan masing-masing.

”Pulau Pinang tetap dengan rancangan asal kita iaitu bubarkan DUN pada minggu akhir Jun, sama ada minggu ketiga atau minggu keempat Jun,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.

Pada PRU-15, enam negeri iaitu Kedah; Pulau Pinang; Selangor; Negeri Sembilan; Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, maka satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh kelak.

Tempoh tamat penggal DUN Pulau Pinang berakhir pada Ogos 2023 jika dikira berdasarkan hari pertama persidangan DUN pada 3 Ogos 2018 selepas PRU-14.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebelum ini telah membuat permohonan bagi penyelesaian kepada pemasalahan berkaitan penyuraian trafik Seberang Perai di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) iaitu pada 2020 kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Sebagai tambahan, hasil Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Pulau Pinang pada Julai tahun lalu telah bersetuju NCIA menerajui inisiatif projek penambahbaikan jangka masa sederhana bagi penyuraian trafik antara Juru- Sungai Dua (Lebuh Raya PLUS).

”NCIA juga menganjurkan bengkel melibatkan beberapa pihak seperti Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS dan lain-lain untuk menyelaraskan perancangan projek penyuraian trafik ini,” katanya.

Tambahnya, susulan itu, NCIA sekali lagi memohon peruntukan di bawah Roling Plan 4 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kepada Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan Kajian Penyuraian Trafik Seberang Perai demi kepentingan semua pihak.

”Sebagai maklum balas, permohonan pembentangan semula pelaksanaan kajian telah memperoleh pengesahan daripada Kementerian Ekonomi dan pembentangan dijadualkan berlangsung hujung bulan ini.

“Anggaran kos kajian adalah RM5 juta dan akan mengambil masa enam bulan.

“Kajian bagaimanapun hanya boleh dijalankan selepas kelulusan diperoleh yang mana akan dibentangkan dalam bajet pada Oktober ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya