PETALING JAYA: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dicabul seorang lelaki di tepi jalan sebuah kawasan perumahan di Sea Park, Petaling Jaya di sini Jumaat lalu.
Pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 20 tahun kira-kira 8.27 malam, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ketika kejadian, dia sedang berjalan di kawasan perumahan itu sebelum tiba-tiba dipeluk dari arah belakang oleh suspek.
“Suspek yang berpakaian hitam dan memakai pelitup muka serta bertopi warna hitam itu kemudian melarikan diri.
“Susulan itu, kita sedang mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, satu video daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi satu minit 59 saat menunjukkan mangsa dirangkul dari belakang oleh suspek tular di media sosial, sejak semalam.- UTUSAN










