Peniaga Padang Besar minta kaji semula pelaksanaan bayaran parkir - Utusan Malaysia

Peniaga Padang Besar minta kaji semula pelaksanaan bayaran parkir

PENGUNJUNG di Arked Niaga Padang Besar, Perlis perlu membuat pembayaran letak kenderaan mereka tanpa tunai menerusi pelaksanaan kaedah baharu itu yang bermula 1 Mei lalu. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Peniaga di Arked Niaga Padang Besar di sini menggesa pelaksanaan bayaran letak kereta tanpa tunai buat pengunjung yang ingin ke lokasi tum­puan pelancong itu dapat dikaji semula oleh pihak berwajib.

Pelaksanaan bayaran tanpa tunai itu yang bermula pada 1 Mei lalu bukan sahaja menyukarkan pengunjung malah membebankan peniaga yang menetap di kawasan berkenaan.

Menerusi kaedah baharu itu, pengunjung boleh menjelaskan caj parkir kenderaan mereka secara tanpa tunai dengan bayaran sebanyak RM3 bagi sebuah kenderaan menerusi beberapa platform antaranya Touch ‘n Go.

Peniaga di sini pula akan diberikan pas bermusim dengan dikenakan bayaran RM30 sebulan manakala penduduk pula sebanyak RM15 sebulan.

Tiada caj dikenakan buat pengunjung yang menunggang motosikal.

Seorang peniaga pakaian, Syed Muhammad Muaz Syed Rosli, 32, berkata, dia tidak menghalang pelaksanaan itu namun pihak terlibat sewajarnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama peniaga dan penduduk di sini.

“Sepatutnya pihak terlibat perlu kaji dahulu secara menyeluruh pelaksanaan ini yang akan turut memberi kesan kepada peniaga setempat.

“Dan bukankah lebih baik jika mereka kenakan caj bayaran itu bermula dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang memandangkan kawasan ini sudah tiada pengunjung pada waktu malam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Syed Muhammad Muaz berkata, peniaga di sini sememangnya terkejut dengan kaedah bayaran parkir baharu itu memandangkan tiada sebarang perbincangan diadakan sebelum pelaksanaan inisiatif itu dibuat.

Katanya, peniaga hanya dipanggil untuk bertemu dengan operator parkir berkenaan selepas kaedah pembayaran baharu itu dilaksanakan.

“Oleh sebab itulah kita minta mereka kaji dan buat beberapa penambahbaikan memandangkan ramai yang terkesan dengan pelaksanaan itu,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­niaga kedai jam, Edward Tan, 31, berkata, pihaknya tidak menerima sebarang notis sebelum ini dan hanya mengetahui me­ngenai kaedah pembayaran baharu itu pada Isnin lalu.

Katanya, kaedah pembayaran itu sememangnya baik untuk menarik pelancong luar ke sini namun pihak terlibat juga seharusnya memikirkan tentang nasib penduduk yang menetap di sekitar arked niaga tersebut.

“Kita memang menyokong pelaksanaan ini namun pihak terlibat perlu melakukan beberapa penambahbaikan demi manfaat semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya