Penggambaran filem Malbatt: Misi Bakara hampir batal di sempadan Turki - Utusan Malaysia

Penggambaran filem Malbatt: Misi Bakara hampir batal di sempadan Turki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah Adrian Teh mendedahkan filem Malbatt: Misi Bakara berdepan pelbagai cabaran seperti pernah diminta untuk dibatalkan penggambaran ketika di sempadan Turki-Syria.

Menurut Adrian, 39, penggambaran filem yang menceritakan tentang perang saudara di Somalia pada tahun 1993 itu melibatkan pelbagai aksi termasuklah tembak-menembak dan letupan.

Memandangkan lokasi penggambaran dilakukan di Gaziantep, Turki yang merupakan sempadan antara dua negara, perkara itu telah menimbulkan salah faham sehingga menjadi tular di negara tersebut.

“Penggambaran dilakukan di bandar bernama Gaziantep terletak di selatan Turki. Ia sempadan Syria, sangat dekat kira-kira 10 minit jika memandu kereta. Kita tahu bahawa secara fakta, Turki telah menceroboh Syria.

“Ketika kami lakukan penggambaran, kami diibaratkan menduduki bandar itu. Kami tutup jalan, bina tangki, latih askar siap ada tembak-menembak. Bandar itu besar, jadi mereka pelik mengapa ada askar lalu lalang di kawasan itu.

“Penduduk di sana sudah maklum bahawa kami lakukan penggambaran. Manakala penduduk di kawasan sempadan sebelah lagi satu (Syria) tak tahu mengenai perkara itu. Lalu mereka ambil gambar dan mula tular di laman sosial.

“Ia menimbukan salah faham sehingga pemerintah Gaziantep meminta kami untuk menghentikan penggambaran,” kongsinya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di majlis pelancaran treler dan poster filem Malbatt: Misi Bakara, semalam.

Bagi meleraikan salah faham, Adrian dan pasukannya telah bersua muka dengan datuk bandar kawasan Gaziantep. Mereka dibenarkan menyambung penggambaran dengan syarat media antarabangsa mestilah dibenarkan untuk datang dan melawat lokasi penggambaran filem berkenaan.

“Saya berjumpa dengan datuk bandar dan berbincang. Saya terangkan kepadanya bahawa senjata yang digunakan di dalam filem ini hanyalah sekadar aset, ia tidak boleh berfungsi sebagai senjata sebenar.

“Kita datang dengan aman dan kasih sayang. Bukan untuk berperang. Mereka akhirnya faham dan meletakkan syarat untuk membenarkan media masuk ke kawasan penggambaran. Ketika itulah banyak media antarabangsa datang.

“Lucunya, mereka sangka saya anak Perdana Menteri Malaysia. Bukan Dafi,” selorohnya.

Menelan belanja sebanyak RM20 juta, Malbatt: Misi Bakara menjadi antara filem termahal yang pernah dihasilkan di Malaysia. Letupan di dalam filem ini dilakukan secara langsung di hadapan kamera dengan sedikit bantuan imej janaan komputer.

“Letupan yang anda bakal lihat adalah ‘real’ dengan sedikit sentuhan imej janaan komputer (CGI). Memang kebanyakan pelakon merasai pengalaman letupan dengan jarak dekat,” tambahnya.

Malbatt: Misi Bakara menceritakan sebuah kisah benar yang dihadapi Batalion Malaysia (Malbatt) apabila menjadi satu-satunya negara yang berani menawarkan diri dalam usaha menyelamatkan tentera Amerika Syarikat di Somalia apabila helikopter Black Hawk milik mereka ditembak jatuh pada tahun 1993.

Filem ini djangka menemui penonton bermula 24 Ogos ini. Antara bintang yang turut sama terlibat menjayakan Malbatt: Misi Bakara ialah Hairul Azreen, Bront Palarae, Tony Eusoff, Dafi Ismail, Shaheizy Sam, Taufiq Hanafi, Theebaan G dan Dini Schatzmann.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya