ALOR GAJAH: Seorang pengasas pusat tahfiz warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga lagi pertuduhan jenayah seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 14 tahun.
Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara mencium mulut mangsa dan sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah kanun sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dengan memasukkan zakar ke dalam mulut mangsa.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 337C Kanun Keseksaan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.00 petang di dalam bilik di rumah guru Pusat Tahfiz Al-Islah, Tanjung Minyak dalam daerah Melaka Tengah pada Mac 2023.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 337E Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa merangsang mangsa yang sama untuk melakukan suatu perbuatan kelucahan melampau yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan maksimum 15 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 1.30 pagi di rumah guru Pusat Tahfiz At-Tayyibat dalam daerah Alor Gajah pada 28 April 2023.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan tiada jaminan diberikan dengan alasan tertuduh mempunyai rekod lampau pada 2019 dan dibimbangi akan menggangu mangsa dan saksi.
Katanya, tertuduh juga telah didakwa atas pertuduhan sama pada Rabu di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh dan pendakwaan tidak menawarkan jaminan.
Bagaimanapun, peguam Faathir Imran Firdaus yang mewakili tertuduh memohon jaminan munasabah kerana pusat tahfiz berkenaan telah ditutup serta memohon jaminan dibenarkan atas alasan mahkamah mempunyai budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah untuk memberikan jaminan bagi kesalahan tidak boleh dijamin.
Katanya, anak guamnya perlu berada di sisi isteri yang sedang sarat mengandung dan bersedia mematuhi syarat-syarat tambahan.
Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan dilarang mengganggu mangsa, keluarga dan saksi serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Mahkamah menetapkan tarikh 26 Jun untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. – UTUSAN