Penganggur bela diri tuduhan edar dadah, kekasih bebas

Penganggur bela diri tuduhan edar dadah, kekasih bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang penganggur membela diri atas empat pertuduhan mengedar dan memiliki dadah dalam kereta yang dipandunya, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohammad Adhib Kabhir Yazid, 35.

Bagaimanapun, mahkamah melepas dan membebaskan kekasihnya, Dayang Amiza Mohd. Yusof, 40, tanpa dipanggil membela diri atas empat pertuduhan sama selepas berpuas hati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu.

Pada asalnya, pasangan kekasih itu didakwa bersama-sama atas tiga pertuduhan memiliki kanabis seberat 5.22 gram, heroin (0.08 gram), monoacetylmorphines (3.61 gram) dan flualprazolam (3.64 gram) di Batu 6, Jalan Cheras berhadapan Cheras Sentral di sini pada pukul 2.30 pagi, 14 Jun 2021.

Mereka turut didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 60.65 gram di lokasi, masa dan tarikh sama. Bagaimanapun, mahkamah meminda keempat-empat pertuduhan asal dengan menggugurkan niat bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan ketika membebaskan Dayang Amiza.

Bagi tuduhan mengedar methamphetamine, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Pertuduhan memiliki kanabis dibuat mengikut Seksyen 6 ADB 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan memiliki heroin dan monoacetylmorphines, dia juga dituduh bawah Seksyen 12(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara pertuduhan memiliki flualprazolam dibuat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tidak lebih dari empat tahun atau kedua-duanya. Prosiding yang bermula November 2022 telah mendengar keterangan lima saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, J Kuldeep Kumar. Dayang Amiza diwakili oleh peguam Haris Salleh. Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Julai ini untuk mendengar keterangan bela diri tertuduh.

Ketika membaca keputusannya, Hakim Muhammad Jamil berpuas hati, dadah berkenaan berada dalam milikan Mohammad Adhib (tertuduh pertama) dan kekasihnya kerana ia ditemukan dalam kereta yang dipandu lelaki itu sementara tertuduh kedua duduk di bahagian penumpang. Beliau berpendapat, tertuduh pertama mempunyai kuasa untuk berurusan dengan dadah berkenaan, bukannya tertuduh kedua.

“Kelakuan tertuduh pertama memecut kereta selepas diarah berhenti oleh pihak polis menunjukkan dia mengetahui bahan itu berada dalam kereta berkenaan namun ia tidak boleh dikaitkan dengan tertuduh kedua.

“Saya dapati kes prima facie berjaya dibuktikan bagi semua pertuduhan namun niat bersama gagal dibuktikan. Tertuduh kedua dilepaskan dan dibebaskan dari semua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri,” ujar hakim berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.