Penang 2030 COOP Grant: RM215,000 diagih kepada 23 koperasi - Utusan Malaysia

Penang 2030 COOP Grant: RM215,000 diagih kepada 23 koperasi

NORLELAH Samsuddin (tengah) bersama Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri Gerakan Koperasi Negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak RM215,000 daripada keseluruhan RM450,000 nilai geran yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi kegunaan koperasi di negeri ini atau Penang 2030 COOP Grant telah dilulus dan diagihkan kepada 23 buah koperasi yang layak setakat ini.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang, Norlelah Samsuddin berkata, daripada 23 buah koperasi itu, 14 daripadanya merupakan koperasi sekolah dengan sebahagian besar menerima peruntukan sehingga RM10,000 setiap koperasi.

“Insya-Allah, baki lagi RM235,000 yang diperuntukan untuk koperasi itu akan kita salurkan pada tahun ini juga bagi membantu koperasi-koperasi kecil yang memerlukan bantuan dari segi infrastruktur dan modal pusingan.

“Memang itulah sasaran kita iaitu nembantu koperasi-koperasi ini (koperasi kecil dan mikro) untuk melonjakkan perniagaan mereka terutamanya koperasi sekolah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Ramah Mesra Aidilfitri Gerakan Koperasi Negeri Pulau Pinang yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti negeri, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Norlelah berkata, turut tersenarai dalam kalangan penerima bantuan itu ialah tiga buah koperasi baharu dengan nilai kurang RM10,000 iaitu koperasi farmasi, sekolah serta koperasi keluarga.

“Sebenarnya, kita tak fokus sangat kepada koperasi-koperasi baharu ini kerana kita nak tengok kemajuan yang mereka capai dahulu untuk tempoh sekurang-kurangnya antara lima hingga enam bulan terlebih dahulu,” katanya yang memberitahu, ketika ini, terdapat kira-kira 20 peratus koperasi tidak aktif daripada keseluruhan lebih 800 koperasi berdaftar di negeri ini.

Tambah Norlelah, peningkatan jumlah peruntukan daripada RM300,000 pada tahun lepas yang diserahkan kepada 34 buah koperasi terpilih berbanding RM450,000 tahun ini juga menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkasakan peranan koperasi di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, sejak diperkenalkan pada Februari 2021, sebanyak 74 buah koperasi telah menerima manfaat daripada pengagihan Penang 2030 COOP Grant.

Katanya, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang menyediakan bantuan berbentuk geran itu dalam usaha memperkasakan peranan gerakan koperasi untuk terus relevan dan berdaya saing dalam memacu pertumbuhan sosio ekonomi rakyat, negeri serta negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya