Pemilik syarikat direman dua hari kes tuntutan palsu Penjana - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat direman dua hari kes tuntutan palsu Penjana

Penjana
SPRM membawa seorang pemilik syarikat bagi permohonan reman berhubung kesalahan mengemukakan butir matan palsu menerusi Program Penjana, di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang pemilik syarikat direman selama dua hari selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu secara dalam talian bagi mendapatkan bayaran insentif pengambilan pekerja di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana).

Tempoh reman ke atas lelaki berusia 45 tahun itu dibenarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM370,000 sekitar 2020 hingga 2021.

“Lelaki berkenaan ditahan di Pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 1 tengah hari semalam. Dia ketika itu diminta hadir bagi memberi keterangan berkaitan kes tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 471 kanun Keseksaan.

Kelmarin, SPRM menahan tiga individu daripada dua syarikat berbeza selepas disyaki mengemukakan borang pengesahan pekerja itu yang mengandungi butir matan palsu.

Kes itu melibatkan nilai tuntutan berjumlah kira-kira RM1 juta kepada Perkeso di bawah program Penjana.

Penahanan reman suspek setakat ini melibatkan empat individu bagi membantu siasatan.

SPRM menahan seramai 47 orang pengarah syarikat terlibat penyelewengan dan ketirisan dana tuntutan palsu menerusi Penjana dalam Op Hire 2.0.

Kesemua yang ditahan berusia antara 30 hingga 70 tahun telah mengemukakan tuntutan yang kononnya telah mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada Perkeso, namun tidak dilaksanakan sebagaimana tuntutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya