PDRM wujud pasukan khas tangani isu hina agama, kaum dan institusi raja - Utusan Malaysia

PDRM wujud pasukan khas tangani isu hina agama, kaum dan institusi raja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyentuh isu membabitkan 3R (kaum, agama dan raja) di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan dan siasatan akan dijalankan oleh Pasukan Siasatan Khas 3R yang diwujudkan sejak Mac lalu.

“PDRM memandang serius berkaitan 3R khususnya yang tular di media sosial ini untuk memastikan bahawa hantaran yang dibuat khususnya isu berkaitan raja, agama dan perkauman perlu dihindari.

“Ini untuk memastikan supaya keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terpelihara dan kesejahteraan negara kita terjamin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Hi-Tea Bersama Media di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan kes membabitkan 3R dilakukan dengan pantas bagi memastikan keharmonian masyarakat di negara ini terpelihara.

Dalam majlis itu, pengamal media turut diberikan taklimat berhubung pasukan khas elemen perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R – Race, Religion, Royalty).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, sebanyak 23 kertas siasatan membabitkan kes 3R disiasat sejak 22 Mac lalu dan lima daripadanya berjaya diselesaikan.

“Tiga kes dituduh di mahkamah manakala dua kes lagi diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Baki 18 kes masih dalam siasatan dan ada di antaranya sudah selesai siasatan dan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya