Pasar terapung tarikan baharu di Sungai Melaka

Pasar terapung tarikan baharu di Sungai Melaka

PASAR terapung yang bakal beroperasi di Sungai Melaka berhampiran Taman Lagenda, Melaka akan membolehkan pelancong membeli pelbagai produk keluaran tempatan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pasar terapung akan menjadi produk pelancongan baharu bakal diperkenalkan oleh Perbadanan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), mulai tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Murad Husin berkata, idea mewujudkannya adalah berdasarkan contoh yang terdapat di luar negara seperti di Bangkok, Thailand dan Bandung, Indonesia.

Menurutnya, pasar terapung di negara luar dilihat berjaya menarik ramai pelancong untuk berkunjung ke negara berkenaan.

Katanya, kelainan ditampilkan di pasar terapung yang bakal beroperasi di Sungai Melaka berhampiran Taman Lagenda dekat sini akan membolehkan pelancong membeli pelbagai produk keluaran tempatan.

“Di Melaka kita cuba cari pendekatan berbeza dengan keutamaan menjual pelbagai produk keluaran usahawan negeri ini. Ada makanan masyarakat Portugis, Chetti, Baba dan Nyonya di atas bot termasuk jualan-jualan produk kering.

“Kelainan pasar terapung ini apabila kita membenarkan pelanggan dari darat boleh juga membeli dan bot Melaka River Cruise boleh berhenti bagi membolehkan orang ramai membeli barangan yang dijual di atas bot tersebut.

“Kita sasarkan pembukaan pasar terapung di Taman Lagenda tahun depan bersempena dengan sambutan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu PPSPM di Pengkalan Rama di sini yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh semalam.

Tambah Murad, pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat yang akan memajukan pasar terapung itu, membabitkan isu-isu teknikal termasuk kedalaman sungai di Taman Lagenda.

“Banyak infrastruktur perlu diambil kira termasuk menyediakan bot berbumbung kepada peniaga, tempat orang hendak menjamu selera dan sebagainya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya