TUMPAT: Sepasang suami isteri berstatus orang kurang upaya (OKU) kategori lembam buntu memikirkan nasibnya apabila perlu menyediakan belanja bulanan sebanyak RM2,500 untuk merawat anaknya berusia lapan bulan yang menghidap penyakit ekzema.
Muhammad Khairiel Mat Ariff,24, dan Norhaslina Che Mud, 27, mendedahkan anak mereka Muhammad Khair Haziq kini bergantung sepenuhnya kepada susu khas seberat 400 gram yang berharga RM104 sebagai sumber makanan utama selain merawat penyakit kulit.
Muhammad Khairiel berkata, pendapatan sekitar RM1,000 pembantu kedai menjual barangan perkakasan rumah masih belum cukup untuk menampung perbelajaan bulanan anaknya itu termasuk membeli lampin pakai buang.
“Satu tin susu hanya mampu bertahan selama empat hari sahaja. Pernah satu ketika saya terputus bekalan dan menggantikan susu anak dengan jenama lain, kesan gatal pada tubuh Muhammad Khair Haziq naik dengan begitu banyak.
“Bagaimanapun saya bersyukur apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) 3rd Force Pasir Mas turut membantu meringkan beban dengan menghulurkan bantuan untuk Muhammad Khair Haziq,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan 3rd Force Pasir Mas yang diketuai oleh Wan Zalilah Shafie di rumah sewanya di Kampung Tanjong Kuala di sini semalam.
Muhammad Khairiel memberitahu, pengambilan susu itu dibuat atas nasihat doktor bagi merawat penyakit ekzema yang dihadapi oleh anak sulungnya itu.
Katanya, selain penyakit ekzema Muhammad Khair Haziq turut diuji dengan masalah usus dan lidah pendek yang memerlukan rawatan lanjut di hospital setiap bulan.-utusan










