Pagi berkebun, petang lari sembunyi elak dicekup

Pagi selepas Subuh berkebun, petang lari sembunyi elak dicekup

PEKERJA yang merupakan warga asing ini akan berada di kebun pada siang hari dan menghilangkan diri pada waktu petang sekitar pukul 5.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan bercucuk tanam dilakukan warga asing di Pulau Meranti, Puchong di kawasan yang diceroboh bersebelahan sebuah kilang bas masih berleluasa dan berjalan seperti biasa.

Ini meskipun laporan akhbar baru-baru ini secara konsisten telah mendedahkan dominasi warga asing di kawasan itu yang menjadikan pertanian secara ha­ram sebagai punca ekonomi bagi membolehkan mereka berkomuniti di kawasan tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan kebun haram diusahakan seorang warga asing Indo­nesia digelar Lasuwi mendapati, sekurang-kurangnya enam pekerja Indonesia sedang berkebun di tapak-tapak tanaman sawi, bendi, kangkung dan bayam.

Difahamkan, warga asing di situ memilih untuk menanam sayuran yang cepat mendatangkan pulangan dan hasil kerana kebimbangan jika kebun-kebun dan rumah kongsi haram mereka diserbu.

Malah, sepanjang tinjauan turut mendapati banyak lori, kenderaan pacuan empat roda serta kereta lalu lalang di laluan utama ke kebun haram yang bersebelahan kilang bas, didapati membawa keluar sayur-sayuran untuk dijual di Pasar Borong Selangor.

Tinjauan ke kebun-kebun haram di kawasan itu mendapati terdapat sebuah tapak kebun yang baru dibuka dan pekerja Lasuwi yang ditemui memberitahu, dia diupah merumput dan membersihkan kawasan tersebut untuk tanaman sawi dan bayam.

Sewaktu tinjauan juga mendapati tiga pekerja Indonesia dilihat sedang mengutip bunga melur, sawi putih, sawi bunga, pucuk keledek serta bendi sebelum dihantar ke sebuah pusat pengumpulan di sebelah kebun dipercayai untuk dibersihkan sebelum diambil oleh peraih dari kawasan sekitar.

Sumber penduduk tempatan yang ditemui memberitahu, pada minggu lepas pihak berkuasa sudah beberapa kali membuat tinjauan ke kawasan tersebut.

Namun katanya, meskipun ke­hadiran pihak berkuasa ke kawasan kebun-kebun haram itu sudah diketahui oleh warga a­sing di sana, namun mereka tetap meneruskan aktiviti ber­kebun seperti biasa.

“Tapi, warga asing di sini sudah pandai. Mereka cuma berada di kebun-kebun haram pada siang hari saja. Bermula selepas subuh mereka mula berkebun dan menjual sayuran, kemudian pukul 5 petang semua lari me­ninggalkan rumah-rumah kongsi di sini,” kata sumber.

Menurut sumber, warga asing Indonesia yang tinggal di rumah kongsi Pulau Meranti kini tidak lagi mendiami rumah haram ma­sing-masing pada waktu ma­lam.

Sebaliknya, sumber memberitahu mereka kini sudah menyewa di rumah-rumah kampung di sekitar Lorong Meranti 1, 2, 3, 4 dan 5 di sekitar Pulau Meranti, Puchong.

“Warga Indonesia yang berkebun secara haram di sini juga, mereka turut menumpang di rumah kawan Indonesia lain sekitar Pulau Meranti, seperti kawan yang bekerja kilang, pembersihan serta kerja buruh,” kata sumber.

Sumber menjelaskan lanjut, walaupun kegiatan kebun haram diusahakan warga asing di Pulau Meranti sudah mendapat perhatian meluas pihak media serta penguatkuasa, namun komuniti warga asing di situ seakan-akan kebal malah masih berani mendirikan pasar malam pada 15 Mei lalu yang diuruskan oleh seorang warga Indonesia yang memiliki kad pengenalan merah yang sudah lama berkomuniti di kawasan itu.

“Saya pergi ke pasar malam itu pada Isnin malam yang lepas. Saya dapati yang menjual di sana kebanyakannya warga Indonesia. Mereka jual sayur-sayuran seperti kentang, bawang serta barang basah termasuk ikan.

“Mereka juga turut menjual makanan seperti sate Madura, ayam goreng dan apam balik. Saya juga lihat warga Indonesia turut menjual pakaian terpakai bundle, malah di pasar malam itu juga ada kegiatan judi buah dadu oleh warga tempatan yang pelanggannya terdiri daripada warga Indonesia, Nepal, Bangladesh serta Myanmar,” kata sumber. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN