Orang kaya nak bantu orang susah? Mengigaukah? - Utusan Malaysia

Orang kaya nak bantu orang susah? Mengigaukah?

Masalah gelandangan masih belum selesai - MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TULISAN Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak di ruangan Rencana, Utusan Malaysia, bertarikh 11 Mei lalu saya baca dengan penuh rasa sebak.
Memikirkan nasib antara kita yang masih hidup dalam keadaan susah, terumbang-ambing, ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’, membuat dua ke tiga kerja siang dan malam, demi menyuap nasi pada mulut-mulut yang menanti di rumah.
Pasca Covid-19 ini, ada yang sudah hilang kerja, masih mencari kerja, menjadi itu, ini dan sebagainya. Ada yang bernasib baik, ada sebaliknya. Malah, dengan hidup penuh derita yang dilalui ini, ada juga yang ‘dipandang sepi’ oleh keluarga sendiri termasuk rakan sepergaulan yang dahulunya menjadi ‘teman ketawa’ bersama. Sangat menyedihkan.
Membaca penulisan Tan Sri berjudul ‘Igauan jutawan bela miskin kedana’ itu mengingatkan saya dalam lawatan kerja ke Jakarta, Indonesia beberapa tahun lalu, bagaimana swasta di kota besar tersebut ‘diwajibkan’ terlibat dalam meningkatkan lingkungan hidup masyarakat miskin.
Bagaimana Kalijodo dahulu dianggap ‘kumuh’ (lingkungan yang kotor dan miskin), sarang pelacuran dan kriminal, berubah wajahnya menjadi lingkungan yang semakin sihat, hasil usaha orang kaya pemilik syarikat swasta yang berlumba-lumba membangunkan semula kawasan berkenaan.
Begitulah bagaimana pemerintah DKI (Daerah Khusus Ibukota) Jakarta ‘memerah kekayaan’ si kaya untuk rakyatnya. Belum lagi orang kaya yang lain yang ‘diperah’ membangunkan taman-taman menghijau di beberapa kawasan di DKI itu. Semuanya demi rakyat.
Di ibu negara juga ada ‘Kalijodo’. Di Lorong Haji Taib, entah ada entah tidak, syarikat ternama negara atau ada orang kaya yang ‘melabur’ dalam menaik taraf kehidupan lingkungan di situ. Kalau ada, boleh maklumkan kepada saya. Saya rasa, yang ada cuma jasa bakti beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk anak-anak gelandangan.
Atas dasar itu kerajaan perlu ada penegasan dalam hal ini. Mungkin boleh dilaksanakan, mana-mana orang kaya atau syarikat berkeuntungan tinggi yang mahukan sesuatu projek atau tender kerajaan, perlu ada di belakangnya, kerja-kerja berterusan membantu rakyat. Jika tiada rekod itu, mungkin boleh ketepikan sahaja permohonan mendapatkan projek tersebut.
Mungkin boleh memulakan kerja-kerja menaik taraf kemudahan penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau mengecat rumah-rumah flat yang sudah lusuh. Atau menurap jalan raya yang berlubang-lubang. Ini perlu diambil kira sebelum tender-tender itu diluluskan kerajaan.
Ini tidak, kawasan elit, kawasan orang kaya, bukan main lagi dijaga segalanya. Jalan raya yang mulus, dijaga rapi. Tetapi kawasan lingkungan miskin, terbiar begitu sahaja. Amat tidak adil. Atau membantu dari segi kewangan kepada mereka yang terjejas kehidupannya pasca Covid-19. Bagaimana?
Cadangan saya tadi, jika belum ada dilaksanakan, eloklah dilaksanakan. Jika sudah ada, perhebatkan lagi. Biar sama-sama kita membangun dengan sihat, bukan lingkungan orang kaya sahaja.
Itulah KPI (indeks prestasi utama) yang perlu kerajaan masukkan dalam pemberian tender atau projek untuk orang kaya atau syarikat kaya berbilion-bilion. Bak kata bijak pandai: “Apabila keadilan lemah, prasangka menjadi kuat”.

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya