‘Orang kampung dah pesan, bahaya’ - Utusan Malaysia

‘Orang kampung dah pesan, bahaya’

KEADAAN mayat dua pelajar KKTM Kemaman yang ditemukan lemas di kawasan rekreasi Air Terjun Lubuk Kain, Sungai Bagan, Hulu Dungun, Dungun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: “Orang kampung dah pesan jangan mandi di kawasan air terjun, bahaya. Tapi rakan saya nak pergi juga sebab pernah tengok dalam laman sosial, lokasi itu sangat cantik. Lagipun, ini kali pertama kami sampai ke kawasan ini.”

Itulah perkongsian seorang rakan kepada dua pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman yang ditemukan lemas di Air Terjun Lubuk Kain, Sungai Bagan, Hulu Dungun, dekat sini, pada pukul 11.20 pagi kelmarin.

Muhammad Falmie Hakimi Yahya, 19, berkata, pada awalnya dia melarang kedua-kedua rakannya itu terjun di kawasan air terjun itu, namun Ahmad Syahid Hamdan dan Muhammad Ridhwan Zawawi, masing-masing berusia 19 tahun, tetap berkeras untuk terjun.

Muhammad Falmie Hakimi berkata, dia dan dua rakannya itu telah naik ke atas batu besar pada ketinggian kira-kira lima meter di kawasan itu sebelum Muhammad Ridhwan terjun ke dalam air dan diikuti Ahmad Shahid.

“Saya juga naik di atas batu yang sama, namun tidak ikut terjun sebab rasa berat hati untuk terjun dan saya takut tidak selamat. Saya hanya tunggu atas batu.

“Tidak sampai lima minit, saya dengar bunyi bising di bahagian bawah dan ada penduduk yang melaung membe­ritahu rakan saya tidak timbul.

“Saya kemudian bertindak memanggil rakan-rakan yang mandi kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian dan menghubungi pasukan keselamatan,” katanya ketika ditemui di Hospital Dungun di sini semalam.

Mereka bersama 15 lagi rakan sekuliah KKTM Kemaman tiba di kawasan rekreasi tersebut kira-kira pukul 10 pagi.

Muhammad Falmie Hakimi memberitahu, penduduk kampung dan pengunjung lain yang kebetulan berada di lokasi kejadian kemudiannya terjun dan menyelam untuk mencari dan menyelamat kedua-dua rakannya.

“Bagaimanapun, kedua-ke­dua rakan saya ditemukan lemas di kawasan pusaran air terjun yang dalam itu,” katanya.

Tambahnya, dia tidak me­nyangka kedua-kedua rakan baiknya akan lemas sekelip mata berikutan mereka mahir berenang.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, mayat Muhammad Ridhwan ditemukan kira-kira pukul 12.08 tengah hari, sebelum mayat Ahmad Syahid pula ditemukan kira-kira tujuh minit kemudian di kawasan pusaran air terjun tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya